Tuesday, November 14, 2006

Islamic Will Writing

Pesan Mak,
Kalau makan jangan nak kenyang
Kalau cakap jangan nak menang
Kalau kerja jangan nak senang


Boss meminta saya menghadiri kursus Penulisan Wasiat Menurut kaedah Islam. Jadual kursus dari 9.00 a.m. hingga 5.00 p.m dari 11 Oktober hingga 13 Oktober 2006. Leceh dan malas. Hati menggerutu sambil merungut itu dan ini. Hari minggu adalah hari untuk saya bersama isteri dan anak-anak!!!.

Dengan separuh hati saya hadiri juga kursus berkenaan. Dalam hati sudah berkira, pastinya kursus itu akan dipenuhi dengan sesi yang membosankan. Sengaja saya keluar lewat dari rumah adik saya di Saujana Utama (Mak bertandang seminggu di rumah Azlina kerana Azlina bermesyuarat di Jeddah. Saya diminta menemani Mak). Sampai sahaja di As-Salihin Trustee di Wisma Rockwills itu, jam sudah menunjukkan jam 9.30 a.m. Ahh.. pedulikan. Hati saya berkata-kata.

Masuk sahaja ke Bilik Taklimat, sesi sudah berjalan 15 minit. Encik Azlan sedang menerangkan fungsi-fungsi wasiat di dalam Islam kepada para peserta. Saya lihat ke kiri, seorang pemuda berbangsa tionghua, saya lihat di hadapan, sebaris gadis tionghua juga. Saya mengangkat tangan bertanyakan samada saya berada di bilik yang betul. Encik Azlan mengiyakannya. Bagaimanakah peserta bukan Islam ini begitu berminat dengan Penulisan Wasiat Islam?

Masa bergerak terlalu lambat di permulaannya. Shamsul aka SRI memecahkan dingin suasana dengan jenakanya lalu sesudah itu menukarkan iklim di sepanjang 3 hari kursus itu berjalan. Sepanjang kursus itu, setiap modul pastinya diisi dengan perdebatan hangat, pertukaran maklumat dan senyuman. Sepanjang masa asyik ketawa, ketawa dan ketawa.

Seperti masih terasa lagi kemeriahan kami itu. Kami mula mengenali antara satu sama lain lantas mewujudkan ikatan dan kemesraan sesama kami. Nasir, Pengarah Urusan sebuah syarikat perkilangan yang matang dan bijak. Shamsul dan Chua, Penasihat Kewangan yang kelakar dan periang. Thien Eng yang pendiam. Ruzila, peguamcara yang cantik dan suka tersenyum. Lina dan Mazida dari Syarikat Hartanah, yang sama-sama ikut kami ke warung setiap tengahari. Wong Poi Poi, Akauntan yang ikut merokok bersama-sama peserta lelaki. Dan saya, Indera Kencana, seorang kuli kecil yang serba tidak kena dan terkalut-kalut. Selain dari itu terdapat 5 lagi peserta yang tidak sempat saya kenali dengan lebih dekat.

Kami belajar tentang Harta Sepencarian, Wasiat (Bequest), Hibah (Gift), Amanah (Trust) dan juga Wakaf. Segala aspek perundangan turut juga disentuh beserta dengan sokongan dari sumber Al-Quran, As-Sunnah, Qiyas dan juga Ijma'. Untuk memudahkan pemahaman, kami diberikan dengan contoh keputusan mahkamah yang berlaku di seluruh dunia termasuk kes Nina Kung Vs Wang Senior, kes tuntutan wasiat yang terbesar di dunia yang melibatkan tuntutan harta Wang Teh Kui yang berjumlah USD 27 bilion.

"Encik Indera Kencana. Berapakah jumlah maksimum Wasi (Executor) yang boleh dinamakan bagi satu-satu wasiat?" tanya Encik Syukran, pensyarah kami.
"Err.. err... seberapa banyak yang seorang Testator itu suka.." saya menembak di dalam gelap. Allah... saya terlupa!!
"Seberapa ramai yang you suka?? Hahahaha.... berapa ramai yang you suka?? 100 orang?" si Chua mentertawakan saya.
"4 saja, maa. Haiya Indera, lain kali aaa, tak tau tanya aku, looo... " sambungnya lagi.
"Hey, Ahmad Chua. You diamlah..!!"
Riuh rendah kursus kami. Saya amat menyukai saat-saat di As-Salihin ini.

Namun saat-saat indah itu sering sahaja cepat berlalu. Sedar-sedar sahaja, tempoh 3 hari sudah tiba di penghujungnya. Tamat kursus yang asalnya saya hadiri dengan separuh hati, tetapi kini berat saya melepaskannya berakhir.

Kami menduduki peperiksaan.
"Tidak kira berapa lama kita meninggalkan peperiksaan, setiapkali kita mendudukinya semula, pasti kita merasakan perasaan yang sama. Tidakkah begitu, Indera??" tanya Nasir.
"Ya. Benar".

Keputusan peperiksaan diumumkan. Kami semua lulus. Nasir, SRI dan Chua mendapat markah yang lebih tinggi dari saya. Saat pentauliahan berlangsung. Kami dengan ini bergelar Perancang Harta Islam yang bertauliah. Satu amanah besar. Kami raikan kejayaan kami dengan Kambing Panggang. Horrayyyy!!!. Kami mengambil gambar kenang-kenangan. Malangnya, gambar itu tidak dapat disertakan kerana masih belum dihantarkan kepada saya.

Suatu kata dalam sinetron Indonesia,
"Kekecewaan itu adalah suatu yang manusiawi. Namun jangan biarkan kekecewaan itu berkembang menjadi suatu keputus-asaan"
Indera : Kerana kejahilan saya, saya memandang penulisan wasiat itu dari sudut negatif tanpa mengetahui bahawa penulisan wasiat ini sangat-sangat dianjurkan untuk menjaga kesejahteraan ummah. Betapa teruknya saya, di saat orang bukan Islam mengagumi sumber ilmu Islam, saya memperlekehkannya, Astaghfirullahal adzim. Alhamdulillah, kursus ini banyak memberi pengajaran kepada saya.

10 comments:

Iman Mawaddah said...

Salam Indera,
Memang Islamic finance dan economics banyak cabang yang menarik untuk diterokai. Secara teorinya semua telah diamalkan sejak zaman Rasulullah. Tp sayang orang kita ramai yang tak sedar.Dan peluang ini diambil oleh bangsa lain.Beruntungnya saudara dapat belajar dan mempunyai sijil tentang wasi dan amanah hibah.Semoga berjaya untuk mengembangkan amanah yang diterima.

p/s: Nak tanya En Syukran, lecturer UiTM ke?

Anonymous said...

Assalammualaikum Indera...
pertama-tamanya kume(merujuk kpd diri sendiri kan?)nak minta maaf kalau komen ini menggangu. bukan pe, saya sendiri orang perak yang berasal dari Kampar...kg kat Batu Gajah dgn Jeram. senyum sendirian mengenangkan kenagan dulu. umur 21 ni dah boleh dianggap tua kan? bukan pe, bila baca entry saudara, tersenyum sendirian saya dibuatnya. nak² bila baca kisah "meriam buluh" tu. bergegar lab kat uum ni saya gelak. sebab kenangan tu tiba-tiba muncul (saya pun pernah hilang kening jugak...meriam buluh punya hal lah nie). saya letakkan blog saudara di blog saya. seronok baca. menunggu lagi entry yang mencuit hati ini.
wassalam...

hakim dirani said...

Indera,
Saya kagum juga tengok orang bukan muslim juga menyertai.

Sunan_Jati said...

aaa ooo....

zwitterion said...

ilmu Allah tu luas...berusahalah!

INDERA KENCANA said...

Salam Iman,
Ada stigma di kalangan orang kita bahawa menulis wasiat itu adalah seperti kita menyuruh mati. Tetapi tidak pula difikirkan sedemikian jika menandatangani polisi insuran. Anjuran berwasiat ini telah Rasullullah terangkan dengan jelas di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar R.A.

Saya tidak pasti samada Encik Syukran itu pensyarah di UiTM. Tetapi yang saya pasti dia adalah Legal Manager di As-Salihin Trustee. Nama penuhnya Muhammad Syukran Bin Md Rofa.

Salam Zairul,
Teman suka bebenor bila mike sudi melawat blog Teman. Tentang kisah meriam buluh, seperti saham Pak Man Telo, ramai yang sudah terkena namun tidak pernah serik-serik. Hehehehe.
Jika Zairul suka, Insya-Allah di dalam post yang akan datang, akan saya tambahkan lagi catatan seumpama itu. Selamat belajar dan terima kasih.


Salam Hakim,
Orang bukan Islam di negara ini sering terkehadapan dari kita kerana mereka sering membaca dan banyak membaca tentang Islam cuma hati mereka sahaja yang belum terbuka dengan hidayah Allah. Dalam satu ketika (senior kami), seorang wanita tionghua membuka terjemahan Al-Quran di hadapan pensyarah minta penjelasan tentang Ayat 11 Surah An-Nisa..


Salam Kanjeng Sunan,
Baru hari ini sudi menjenguk saya, ye!! Kanjeng Sunan tak mahu memberi komen??

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Kenapa susah betul nak tinggalkan komen dalam kotak anda?? Ada masalah ke??

zwitterion said...

ya ke?..blog ni belum sarapan lagi pg ni..hehe

Rie said...

kerap kita tak sedar ilmu isllam itu luas. sedangkan orang lain nak tahu.

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Dah ok dah. Dah tinggalkan komen pun.


Esis,
Itu la pasal.. rugi kan..??