Tersebut di dalam kisah di Tanah Abang, sewaktu pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I, di pertengahan kurun ke 15, negeri-negeri Melayu menghadapi ancaman kuat daripada Raja Siam. Selepas jatuhnya Negeri Melaka, sudah tiada lagi kuasa pengimbang kepada kekuatan Raja Siam itu.
Kerajaan Perak di bawah perintah Yang Dipertuan Duli Tuanku hidup dalam keadaan yang aman damai, bersukacitaan dan limpah berkat dari ilahi atas kebijaksanaan Sultan mentadir negeri dan rakyat jelata. Tanah Abang makmur dengan hasil tanaman dan kekayaan negeri dikurniakan dengan melimpah ruah.
Kekayaan Perak itu menimbulkan iri dalam hati Raja Siam. Raja Siam berniat untuk menakluki Perak lantas Raja Siam mengutuskan utusannya membawakan watikah Raja Siam mengadap ke Bawah Duli Sultan Perak. Di dalam watikah itu, Raja Siam meminta supaya Perak tunduk di bawah takluk Siam dengan menghantar ufti berupa emas dan perak atau menghadapi serangan dari Siam.
"Apa kata-kata datuk-datuk sekelian atas permintaan Raja Siam itu? Wajarkah kita memenuhi tuntutannya atau kelak kita menerima serangannya?" tanya Sultan Muzaffar kepada sekelian menteri. Datuk-datuk menteri berbincang sesama mereka. Sekejap mengangguk, sebentar lagi menggelengkan kepala. Datuk Bendahara sebagai kepala datuk-datuk itu semua kemudiannya mendatangi sembah.
"Ampun Tuanku. Pada hemat patik, jika ada maling mencerobohi rumah kita, sudah sepatutnya kita mempertahankan rumah kita. Tiadalah kita ini tunduk pada maling itu pula" berkias kata Datuk Bendahara.
"Ya, benar. Pada hemat beta, begitu jugalah. Mintalah sekelian rakyat menyertai kita di medan perang kelak. Ini tanah kita, seharusnyalah kita mempertahankannya" madah Sultan dari atas singgahsana baginda.
Sebagai langkah persiapan menghadapi bala tentera Siam itu, sekelian rakyat membina sebuah parit yang dalam bermula dari Tanah Air Mati ke Sedingka lalu membawa sampai mengelilingi istana di Tanah Abang. Panjang parit itu sejauh 5 hari perjalanan dan dipanggil sebagai Parit Siam. Rakyat jelata diminta berkubu di Tanah Abang dan di Tanah Abang itu sendiri dibina dengan kubu tanah setinggi 10 hasta.
Kota Tanah Abang kini sedia menerima ketumbukan tentera Siam dari arah Darat dan Baroh. Tentera Siam kini sudah sampai di Kerajaan Ligor. Dalam 2 purnama lagi sampailah tentera Siam ke Tanah Abang.
Di suatu petang sebelum pecah perang itu, sedang laskar-laskar sibuk menyiapkan kelengkapan perang dan biti-biti perwara menyiapkan bekalan makanan, Anak Datuk Bentara lalu di sekeliling kubu istana dengan menaiki seekor gajah. Adapun anak Datuk Bentara itu masih lagi kecil, masih lagi belum berkhatan dan berasah gigi. Melihatkan kubu istana yang tinggi itu, timbullah keinginan di hatinya untuk naik ke kubu. Anak Datuk Bentara itu pun memacu gajahnya ke atas kubu dan sampai sahaja di tengah pendakian, gajah itu terdiam. Sukar untuk menongkah ketinggian kubu.
Dalam condong pendakian itu dengan tidak semena-mena, Anak Datuk Bentara terjatuh dari belakang gajah itu lantas berguling-guling hingga ke kaki kubu tanah. Langsung menemui ajal di situ.
Melihatkan kejadian itu, Datuk Bentara dan sekelian yang ada di istana itu sangat berdukacita. Mereka kemudiannya menyempurnakan jenazah putera Datuk Bentara itu dan di makamkan berhampiran dengan rumpun Buluh Apa. Makam itu kini dikenali sebagai Makam Anak Bentara..
Indera : Parit Siam kini hanya berkeluasan setengah meter lebar setelah beratus-ratus tahun dimakan usia. Letaknya di dalam kebun getah di Kampung Sedingka berhampiran dengan Hospital Changkat Melintang. Di dalam peperangan itu, Siam mengalami kekalahan. Sebabnya bakal menyusul dalam post yang akan datang.
11 comments:
wargh menariknyer tertarik nyer dan da boom... ngehehhe.. citer betuika?
Sesekali baca cerita sejarah dalam bentuk santai ni seronok juga... :D
Saya tak sabar nak tunggu sambungannya.
adakah makam itu masih ada?
aku dah post bah 2 sila lah baca :)
Sunan, pandai ko nyanyi..
Citer betul la tu.. Awat hang ceghita bedaah ka? Hehehehe...
Bro BP,
Ada banyak lagi. Tunggu...
Lama tak singgah bang..??
Hakim,
Makam itu masih ada lagi. Kalau kita datang ke Tanah Abang tu, mesti nampak makam tu..
King,
Aku dah baca. Tak sabor rasanya nak tunggu bahagian seterusnya..
Tak sangka dapat tahu psal sejarah kat blog hang.
Makam tu leh gi jengah ker?
dah lama x baca buku sejarah..ok la best apa..kena tunggu samb..
blue_cherry,
Makam dan kawasan sejarah di sekitar Tanah Abang seperti Makam Sultan Muzaffar, Buluh Apa, Kolam Buaya Emas, Makam Anak Bentara sememangnya oleh dilawati bila-bila masa tanpa ada bayaran. Cuma Gajah Batu 3 Beranak sahaja yang tidak boleh dilihat dari kawasan itu. Datanglah kalau berminat.
Zwit,
Nantikan sambungan ye!! Tunggu...
best.. best.. cepat sambung..
dimana letaknya pengantin jadi batu dekat ayor mati ni dan meriam rentaka milik baginda sultan ?
dimana letaknya pengantin jadi batu dekat ayor mati ni dan meriam rentaka milik baginda sultan ?
Post a Comment