Wednesday, November 08, 2006

Mandi Sungai

Dalam satu iklan Hari Raya, Adi datang dari bandar. Takut-takut terjun mandi di perparitan. Dengan pelampung itik dan juga goggles, dia bertanya kepada sepupu-sepupunya..
Adi : Ada buaya ke..??
Sepupu-sepupunya : Tak de...
Adi : Ada ular ke...??
Sepupu-sepupunya : Tak de..
Adi : Ada Ikan Jaws ke..??
Sepupu-sepupunya : Tak deeee... (dah panjang dah tu!!)

Iklan Adi dengan sepupunya itu mengembalikan kenangan saya bermandian di Sungai Perak di awal tahun-tahun 80-an dahulu. Waktunya tetap sama iaitu selepas jam 3 petang membawa sehingga jam 6 petang. Tarikan mandi di sungai ini sungguh berhantu sehingga membawa ketagihan. Tempat yang kami gemari ialah di Tebing Pak cik Hashim Embi. Lantai sungainya landai dan memanjang sehingga ke tengah sungai. Bayangkan betapa seronoknya boleh berenang di air separas tengkuk budak sehingga ke tengah sungai.

Apak cukup marah jika mengetahui saya mandi di sungai. Silap-silap gaya dirotannya setengah mati. Ini kerana Yeop pernah lemas di Sungai Perak itu. Mujur sempat dicapai rambutnya oleh Abang Jam Enot. Kalau tidak, saya cuma mengetahui perihal abang sulung saya pada namanya sahaja.

Petang saya perlu ke sekolah agama. Apak akan menghantar sehingga ke pagar sekolah. Hmmm.. leceh. Bukankah baik jika dibenarkan saya pergi sendirian?? Sampai sahaja di sekolah itu saya masih berdiri di hadapan pintu pagar sekolah.
"Pergilah masuk" kata Apak.
"Sekejap. Orang nak pergi beli ais kerim di kedai Opah Limah. Apak, nak sekupang (sepuluh sen)
"Nah"

Apak berpatah balik. Hilang sahaja bayang Apak di selekoh itu, saya tersenyum lebar sambil menunjukkan ibu jari pada Mi, Din, Joe Katam, Ijan Puntung dan Hamdan anak Pakcik Aziz tanda rancangan kami berjalan seperti biasa. Kami berlari keluar dari sekolah agama itu dengan masih berbaju melayu menuju ke Tanjung.

Sampai sahaja di tebing sungai, Fadzli sudah menanti dengan kerbau ayahnya. Tetapi.. alamak!! hanya Dan dan Joe sahaja yang membawa seluar mandi. Bagaimana saya boleh terlupa..??
"Cepatlah Indera. Nak terjun ke tak ni..??"
"Aku tak bawak seluar mandi... Kalau terjun dengan seluar baju melayu ni, nanti Apak aku tahu"
"Kami pun tak bawak..." sahut Nuar Tobek muncul entah dari mana. Bogel.

Saya memandang sekeliling. Azmi sudah tersengih-sengih bertelanjang bulat sedia untuk terjun tiruk. Malu. Nampak pee-pee. Sudahnya kami dalam 6-7 orang, mandi bugil (istilah Bro BP). Mujur sahaja umur kami baru 9 tahun. Jika tidak, pasti kami sudah diusung ke Balai Polis atas tuduhan mengadakan Pesta Seks.

Kami mandi sehingga santak petang. Sampai kulit kami berubah kehitaman. Bila jari-jari sudah mulai kecut membiru, ketika itu baru terngigil-ngigil kesejukan. Ketika memakai baju, baru kami ternampak di kelangkangan seluar Fadzli sedikit berdarah.
"Kenapa??" saya bertanya.
"Digigit ikan buntal..."
Ooochhh..

Malam berlalu. Fajar menjelma. Di sekolah, murid-murid perempuan memandang kami. Kemudian berbisik. Senyum. Kemudian tertawa.
"Ooii Indera. Semalam petang, pukul berapa kamu balik dari Tebing Fadzli tu?"tanya Shimah anak dara Achik Moin yang mulut becok itu. Kepala saya ini sudah hampir botak akibat ditarik rambut olehnya saban hari. Pantang terkena usikan. Mula meradang. Sudahnya saya yang duduk di hadapannya menjadi mangsa. Ditarik rambut. Sakit.
"Petanglah.."jawab saya selamba.

Tiba-tiba.. OHMYGOD!! Mana dia tahu saya di Tebing Fadzli petang semalam?? Saya terhenti berjalan dan segera berpusing ke belakang.. Shimah tersenyum penuh makna. Rupa-rupanya ketika kami sedang asyik terlompat kinja di sungai, ada mata memerhati. Shimah juga turut menghalau kerbau ayahnya ke sungai semalam. Cuma kami sahaja yang tidak menyedari kehadirannya melalui kawasan itu dek kerana leka berenang seperti itik.

Becoklah mulut Si Shimah menceritakan itu dan ini perihal kami kepada kawan-kawannya. Malu sebesar separuh dunia rasanya. Sehingga sekarang geram saya pada Shimah masih berbekas. Sehingga sekarang juga, saya pasti tidak berani menatap matanya yang sering mencerlang penuh makna memandang saya. Malu. Bukan saya sahaja. Malah semua. Din, Mi, Dan, Ijan, Joe, Nuar, Fadzli tidak lagi berani mengusik Si Shimah. Walaupun begitu, sedikit pun tidak dapat melunturkan ketagihan kami bermandian di Sungai Perak.

Mujur tiada yang lemas sepanjang kegilaan kami itu. Sehingga kini Apak dan Mak masih tidak tahu bahawa saya ponteng sekolah agama saban petang kerana mandi di sungai. Aktiviti kami terhenti pada tahun 1985 apabila tersebar berita 10 ekor buaya terlepas dari sangkar ternakan di Daerah Kuala Kangsar.


Indera : Entri ini hanya satu rakaman untuk sebuah kenangan yang terindah. Jika sesiapa merasa tidak selesa atau tersinggung dengan entri ini, saya pohon jutaan kemaafan.

6 comments:

Iman Mawaddah said...

Indera,

Hehehe tergelak besar saya membaca entri kali ini. Indahnya zaman kanak2 sampai sanggup buat apa saje.

hakim dirani said...

Ha ha ha,
Nasib baik dia terserempak sahaja anda mandi di situ, jika dia hebohkan sekali separuh mati anda dipukul oleh apak.

kenangan memang selalu buat saya senyum dan ketawa sendiri.

kingbinjai said...

dude, tak perlu minta maaf. ini blog kau. kau berkuasa ke atasnya.

Bunga Rampai said...

Sebelum membaca, saya dah berimajinasi...hehehe, tepat jangkaan saya. Saya ketawa :))
Lagi seorang teman menceriakan pagi saya, terima kasih.

Shimah tu mana sekarang?

Salam untuk Indera.

ZaKiN said...

huhuhu... mesti kalo shimah terbaca dia akan terbayang apa yg ko tulis nih. gelak sendirian aku.. hehehe..!! seronok kan kecik2 dulu.. kalo lah bleh kembali alangkah indahnya..!!

INDERA KENCANA said...

Iman,
Begitulah zaman kami dulu. Tiada permainan komputer dan teramat kurang kemudahan sukan. Puncak keseronokan hanya dengan terjun dari Pokok Ketapang ke dasar sungai sahaja.


Hakim,
Mujurlah tidak sampai ke pengetahuan Apak. Tetapi tetap juga sudah dihebohkan. Saya teringat lagi pagi itu, suara dan memek wajah si Shimah. "Kome nak tau tak, si Indera, Mi, Din.." Malu sungguh.


King, isen ini sudah pada tahap 18SX. Nanti takut ada pihak rasa tidak selesa.


Salam Bunga Rampai,
Sama-sama :)

Shimah sekarang sudah anak empat. Masih di kampung. Cantik bertudung litup. Tetapi masih tetap melenting jika diusik terutama bila kami sekeluarga datang berkunjung ke rumahnya di Hari Raya. "Kamu Indera, jangan. Aku cerita pasal kome kat sungei tu nanti". Dia mengugut saya.


Zack, Shimah tu, tak baca isen pun kalau nampak saya dia dah ketawa dah. Kalu jumpa, mula-mula dia tengok saya. Bila saya tengok dia balik, dia jegil mata sambil senyum. Bila saya larikan pandangan, dia ketawa.

Seronok ingat zaman kecil-kecil dulu..