Friday, November 24, 2006

Mimpi

Ada sesiapa percaya kepada mimpi? Mimpi suatu bayangan yang lahir sewaktu ketiduran dan di saat itu minda kita akan menerewang tanpa arah dan kawalan. Kata orang, suatu mainan tidur. Tetapi bagaimana jika mimpi itu membawa kesan terhadap kehidupan seharian kita?

Oktober 1993,
Saat itu subuh yang kelam. Tiada cahaya. Saya berjalan keseorangan sehingga sampai ke taliair yang menyempadani kampung kami dengan kampung sebelah. Tiada seorang manusia pun. Sejuk. Dingin. Nun di hujung taliair itu, di celah kabus subuh, saya terpandangkan seseorang. Saya merapatinya. Wajahnya bersih. Senyumannya manis. Bersongkok putih. Kain serban disangkut di bahu.
"Assalamualaikum" katanya
"Wa-alaikumussalam" balas saya
Di genggaman saya bercahaya dengan sinar berwarna biru. Saya membuka telapak tangan. Di telapak tangan saya ada sebutir batu berwarna biru bercahaya sebesar telur puyuh. Saya memandangnya dengan kebingungan. Dia tersenyum. Mengangguk. Kemudian menghilang....

Saya tersedar. Azan Subuh berkumandang dari Pusat Islam ITM.
Siapakah dia?


April 1994
Subuh itu subuh yang kelam. Tiada cahaya. Saya berjalan keseorangan sehingga sampai ke taliair yang menyempadani kampung kami dengan kampung sebelah. Tiada seorang manusia pun. Sejuk. Dingin. Nun di hujung taliair itu, di celah kabus subuh, saya terpandang seseorang. Orang yang sama. Saya merapatinya. Wajahnya bersih. Senyumannya manis. Masih bersongkok dengan kain serban di sangkut di bahu.
"Assalamualaikum" katanya
"Wa-alaikumussalam" balas saya
Saya lihat di genggamannya bercahaya dengan sinar berwarna hijau. Dia membuka telapak tangannya. Di telapak tangannya ada sebutir batu berwarna hijau bercahaya sebesar telur puyuh. Saya memandangnya dengan kebingungan. Dia tersenyum. Mengangguk. Kemudian menghilang...

Saya tersedar. Azan Subuh berkumandang dari Pusat Islam ITM.
Siapakah dia?


Februari 1996
Saya berdiri berhadapan dengannya. Di hujung taliair yang menyempadani kampung kami dengan kampung sebelah. Dalam subuh yang kelam. Sejuk. Dingin. Berkabus. Kali ini dia tidak memberi salam. Tetapi saya sudah mengingati wajahnya. Kami sama-sama membuka tangan masing-masing. Di telapak tangan saya batu biru itu masih bersinar-sinar. Di telapak tangannya pula batu hijau itu juga masih bersinar-sinar. Dia tersenyum. Mengangguk. Kemudian menghilang.

Saya tersedar. Azan subuh berkumandang dari masjid di sebelah rumah Mak.
Siapakah dia?


-------------------------------

Tahun 1997
Setiap Jumaat pasti saya memasuki masjid dari pintu di sayap kiri itu. Kebiasaannya saya akan bersolat berhampiran dengan pintu sayap kiri itu sahaja. Namun saban Jumaat saya kian mengambil tempat solat berhampiran pintu sayap kanan itu pula. Dari minggu ke seminggu saya semakin mendekati ke pintu kanan itu. Sehingga suatu Jumaat, dia yang sering muncul dalam mimpi saya itu lalu di hadapan saya dari pintu sayap kanan itu mengambil saf di hadapan saya. Saya ingat dia. Itulah dia dan saya yakin benar. Dia masih seperti gambaran mimpi itu. Berwajah bersih. Senyuman yang manis. Bersongkok putih dengan serban di bahu.
Indera : Dia itulah kini Abah saya. Namanya Osman Bin Ahmad Sohor. Mimpi itu menyatukan ikatan kami walaupun sehingga kini kami masih lagi bingung akan takwil mimpi itu.

10 comments:

Iman Mawaddah said...

Bapa mertua ya? Subhanallah ajaibnya..

hakim dirani said...

Masya-Allah ini adalah satu mimpi yang baik. Mimpi sebenarnya meberi kesan kepada kehidupah kita walau pun tak begitu kuat.

AKMA said...

suatu hari...indera akan faham. :) insya-allah. lalui saja musafir ini. dengan penuh kasih sesama insan. semuanya akan jelas nanti. :)

blackpurple @ jowopinter said...

Mimpi kadang-kadang jadi misteri..kadang-kadang pelik....kadang-kadang petunjuk...kadang-kadang jadi hiburan...

... mimpi kau ni macam ada yang tersirat...

kingbinjai said...

abah? jadi, apak? siapakah apak?

zwitterion said...

bapa mertua ke ayah angkat?.. apa yg saya tau; kalau mimpi dekat2 subuh,lps tu msk waktu subuh, ada yg betulnya..

Anonymous said...

Salam buat Indera Kencana,

Mengeluh dulu ...adduuuuhh! :) Oooh, hari ini baru punya masa santai legar-lagar blog kawan-kawan. Saya ketinggalan 3 entri rupanya, itu belum lagi blog lain.

Sabung ayam: Masa kecik-kecik dulu saya memang suka tengok sukan itu (sukan?) :))

Mimpi: Ada mimpi yang mengesan, dapat merubah kehidupan. Ada mimpi yang tafsirnya hanya terserlah setelah beberapa lama. Mimpi Indera itu menakjubkan, batu biru dan hijau adalah rona cahaya yang menyegarkan, warna yang membelai rasa kasih.

Teruskan bermimpi walau di siang hari. Tanpa mimpi kita tidak akan terjaga dari lena :)

zizie ali said...

kalau bermimpi lagi mimpi yg sama, kau katakan padanya (dalam mimpi): 'saya sedang bermimpi'.

ZaKiN said...

mimpi.. saya jadi takut untuk bermimpi tuan.. mcm tuan juga adakalanya mimpi saya jadi satu kenyataan secara kebetulan.. baru2 nih saya bermimpi motor saya dibawa oleh org lain.. 3 hari selepas tue motor saya hilang.

2 tahun yang lepas saya bermimpi menabur bunga kemboja di tepi jalan raya... tak sampai seminggu teman kesygan saya meninggal kemalangan jalan raya..

tapi saya seringkali bermimpi yg merapu saja.. hohohoho..

INDERA KENCANA said...

Iman,
Tak. apa angkat saya sahaja. Walaupun dia mempunyai seorang anak dara yang cukup cantik, namun saya rasa tidak mungkin akan menukarkan status dari bapa angkat ke bapa mertua pula.

Hakim,
Betulkah ianya mimpi yang baik? Harap-harap begitulah

AKMA,
Saya berharap juga untuk mengetahui takwilnya cuma saya tidak terlalu serius memikirkannya. Yang pentingnya ianya membuka jalan untuk saya mengenali seseorang yang sangat istimewa macam abah saya itu.

Bro BP,
Bro BP kan seorang yang pinter nian. Bolehkah Bro mentafsirkannya..??

King,
Apak adalah ayah kandung saya. Abah pula adalah bapa ankat saya yang diketemukan melalui perkara ini. Wallahua'lam.

Zwit,
Bapa angkat. Ya, menurut kepercayaan masyarakat Cina ada menyebut perkara ini. Wallahua'lam.

Salam Bunga Rampai,
Patut sang bayu bertiup tidak membawa haruman Bunga Rampai lewat beberapa hari yang lalu sehingga membuatkan saya tertunggu-tunggu. Salam juga untuk suami dan anak-anakmu..

Pernah melihat sabung ayam..??

Saya tertanya-tanya akan maksud ronanya. Mujur sahaja ronanya hijau dan biru.. Bagaimana jika rona itu merah atau kuning? Astaghfirullah..

Zie,
Ya, itu pun cadangan yang sangat bernas. Aku suka. Nanti aku nak cuba..


Zack,
Tak payah bertuan-tuanlah Zack. Geli geleman rasanya. Ko panggil aku Indera ke.. jika ko selasa beraku-engkau apa salahnya.. Tetapi jangan bertuan-tuan.. lain macam rasanya.. :P

Kadang-kadang hendak atau tidak kita akan bermimpi juga. Doa banyak-banyak supaya kita tidak bermimpi yang bukan-bukan, ye!!