Tuesday, November 07, 2006

Sekolah Ayam

Sebangun sahaja saya dari tidur pagi itu, saya mencari-cari abang saya, Khairul. Dia tiada. Saya hairan. Saya mencari-cari di sekeliling rumah. Pun tiada juga. Dia ke mana??. Pelik.
"Indera, nak ke mana tu??"laung Kak Wok, orang gaji rumah dari tingkap dapur.
"Orang cari Khairul".
"Khairul tak ada. Tadi Apak kamu dah bawak dia pergi tadika.."
Kak Wok berlalu dari jendela menyambung kerja-kerja mengemasnya.

"Tadika?? apa tu?? Tak pernah dengar pun.." kata saya di dalam hati.

Sepanjang pagi itu saya bermain kereta tolak bersendirian. Along membawa anak patungnya mendekati saya di timbunan pasir itu.
"Indera, kita main masak-masak nak..??. Kita jadi mak. Indera jadi ayah. Timah (anak patungnya) jadi anak. Nak tak..??"
"Tak naklah. Kita lelaki. Malulah bermain dengan budak perempuan. Nanti orang kata kita nak kahwin dengan awak.." kata saya berlalu dengan sombong.
Along memandang saya dengan pandangan hampa.

Bosannya hari. Matahari semakin tinggi di angkasa. Panas mulai merembang menghangati persekitaran rumah.
"Indera, dah mandi belum??" tanya Kak Wok.
"Belum" sahut saya
"Nak Kak Wok mandikan" pelawa Kak Wok.
"Tak nak. Kak Wok suka tarik pee-pee"

Kak Wok sibuk memasak di dapur. Abang Mat Kambing sudah lima kali berulang-alik di depan rumah untuk mengintai Kak Wok. Sekarang sudah tengahari. Kak Wok tidak akan keluar lagi menyapu di tengah halaman. Panas. Wajah Abang Mat Kambing nampak kehampaan juga.
Bek, bek, kambing
Kau adakah bulu?
Ada tuan ada
Tiga guni penuh..

Abang Mat Kambing tersentak mendengar nyanyi saya. Lantas berkejar ke bawah Pokok Jambu, mematah ranting memburu saya. Saya terkejut lalu mencicit lari bersembunyi di dalam bilik.
"Jagalah kamu Indera. Abang Mat dapat kamu nanti, Abang Mat sebat-sebat dengan ranting ni.." saya mendengar Abang Mat Kambing mengomel dari bawah rumah.

Aroma Sepat Goreng naik memenuhi ruang rumah.
"Kak Wok.."
"Apa??"
"Kak Wok!!"
"Ye.. cakaplah, apa dia.."
"Bila Khairul nak balik..??"
"Sekejap lagi pukul 12.00 dia baliklah...ye!! Mari Kak Wok suap nasi, nak?"

Assalamualaikum!!
Khairul balik. Khairul balik. Khairul masuk ke rumah. Mak Chor Umi menghantarnya pulang. Wajah Khairul berseri-seri.
"Pergi mana?" saya tanya.
"Nampak tak rumah warna kuning depan sekolah menengah tu?"
"Nampak.."
"Itulah dia Sekolah Ayam. Orang pergi situlah. Rugi kamu tak ikut Indera. Banyak mainan. Banyak kawan. Asyik makan je. Tadi pun makan bihun. Sedap... . Esok nak ikut tak..??" Khairul mengajak saya.
"Nak. Nak"

Pulang sahaja Apak dari sekolah, saya lekas-lekas menerpa.
"Apak, orang pun nak pergi ke sekolah ayam tu..."
"Sekolah Ayam??, apa tu??"
"Tadika" sahut Kak Wok.
"Ooooo.."

Esoknya, saya dan Khairul sama-sama dihantar ke Sekolah Ayam itu oleh Apak dengan menaiki Volkswegen Apak. Seronoknya.


Indera : Ketika menulis entri ini, Apak baru sahaja selamat menjalani Pembedahan Angio bagi membersihkan satu lagi saluran jantungnya yang tersumbat. Apak sedang berehat di IJN. Esok baru dibenarkan pulang.

12 comments:

kingbinjai said...

Mana? mana? mana? mana isen kau yang pasal lori tu? mana? mana?

p/s : semoga cepat sembuh dan semoga panjang umur

INDERA KENCANA said...

King, esoklah aku letak. Ko citer pasal Toyota tu, aku citer pasal trailer..

AKMA said...

Moga Apak beransur sembuh. Insya-Allah. Salam perkenalan Indera Kencana. Melompat dari blog IMan Mawaddah.

AKMA

ZaKiN said...

moga apak sihat erkk...!! apasal aku dulu tak main masak2 erkk.. panjat pokok penah arrrr.. huhuhu

INDERA KENCANA said...

Salam AKMA,
Selamat berkunjung orang dari Delft. Semoga di ruangan ini akan menyemarakan persaudaraan kita. Insya-Allah.


Zack (Maniq),
Bila balik outstation..??

OKlah main panjat pokok tu. Membentuk semangat waja..

blackpurple @ jowopinter said...

Semoga Apak cepat sembuh dan meneruskan hari hari akan datang dengan sihat, ceria, ria.......

Mandi bugil dalam parit masa kecik memang seronok...

hakim dirani said...

Mudah-mudahan cepat apak anda di sembuhkan Allah.

Sekolah ayam? canggih juga nama tu.

saya masa kecil-kecil dulu cukup susah nak pergi tadika, puas mak dan ayah saya paksa.

INDERA KENCANA said...

Bro BP,
Entri untuk mandi bugil di sungai itu bakal menyusul tidak lama lagi. InsyaAllah..


Hakim, saya tak tahu macam mana nama Sekolah Ayam itu oleh timbul. Yang saya pasti, orang-orang tua kampung saya memanggilnya sekolah ayam.

Susah-susah pegi tadika dulu pun, akhirnya sampai Syria jugak. Tak gitu..??


King, AKMA, Zack, Bro BP, Hakim :
Terima kasih atas doa kalian kepada kesihatan Ayahanda saya. Saya amat menghargainya.

Bunga Rampai said...

Salam buat Indera,

Semoga Apak cepat sembuh. Rajin-rajinlah melawat Apak.

Menyibuk ni...apa dah jadi pada Abang Kambing dan Kak Wok? Kenapa tadika tu dipanggil Sekolah Ayam?

Tunggu cerita mandi sungai pulak :)

Iman Mawaddah said...

Indera,

Macam ternampak je bayangan sekolah ayam ni..kat belah mana ya?

Semoga Apak saudara segera sembuh

INDERA KENCANA said...

Salam Bunga Rampai,
Cinta Abang Mat Kambing pada Kak Wok tidak berpanjangan bila Kak Wok terpaksa pulang ke kampung halamannya beberapa tahun sesudah itu. Samada mereka berutus surat, tidak pula saya ketahui. Yang pasti Abang Mat berkahwin dengan orang lain dan Kak Wok dengan jejaka pilihan keluarganya.

Terima kasih atas doamu yang harum mewangi.


Iman,
Sekolah Ayam itu sekarang sudah menjadi rumah orang dan terletak betul-betul di seberang jalan Sekolah Menengah itu. Masih berwarna kuning seperti asalnya. Cuma kemeriahanya sudah tidak terasa terutama selepas kedai 10 pintu di sebelahnya musnah terbakar pada pertengahan tahun 80-an.

INDERA KENCANA said...

Iman, terima kasih atas doamu..