Monday, November 27, 2006

Sepohon Pokok Bacang

"Indera, cuba kamu tengok anak dara kamu di seberang jalan itu". Suara Mak mengejutkan saya yang asyik menikmati sarapan pagi.

Masya-Allah. Rupa-rupanya anak dara saya itu sedang memanjat runtuhan dinding konkrit di pinggir sekolah menengah itu, dibawa oleh sepupu-sepupunya yang rata-ratanya lelaki. Geramnya saya!! lantas saya berkejar ke pagar sekolah itu menghalau mereka semua pulang ke rumah. Siri Aufa terkial-kial melepasi kayu pokok yang saya kira telah tumbang seminggu yang lalu..

"Buah hatiku sayang... aku rindukan dikau seorang...". Muncul sebuah bait lagu lama entah dari mana menusuk tangkai hati saya. Saya beristighfar supaya tidak dibuai perasaan.

Petang itu saya leka memandang Pokok Bacang tumbang itu sambil duduk di beranda rumah Mak. Pokok Bacang itulah. Pokok Bacang itu sudah ada sejak saya lahir lagi. Berdirinya di pinggir pagar di tepi kawasan sekolah menengah itu. Pokoknya kecil sahaja. Sepemeluk orang dewasa. langsung tidak pernah berbuah walau seumur hidupnya. "Bacang jantan agaknya" kata Cikgu Habsah yang pernah mendiami kuarters guru bersebelahan dengan pokok bacang itu.

Pokok Bacang itu menjadi tempat teduhan pelajar-pelajar sekolah sewaktu aktiviti sukan mereka sebelum adanya kuarters guru itu. Pokok bacang itu berada di tepi jalan yang saban hari menyaksikan manusia ke darat dan ke baroh. Menyaksikan kelahiran dan kematian orang kampung. Juga menyaksikan kegembiraan perkahwinan dan kedukaan yang ditempohi oleh orang yang melalui jalan itu.

Yang teristimewanya, di akhir tahun 1978, Pokok Bacang itu menjadi sangga untuk sebuah pentas yang besar. Di atas pentas itulah Sharifah Aini dan Hail Amir pernah menyanyi menghiburkan penduduk setempat dahulu.

Saya ingat lagi hari itu. Saya dalam usia 3 tahun lebih, tetapi minda saya sudah berupaya merakamkan peristiwa. Kawan-kawan Apak memujuk Apak agar turut sama menyaksikan artis-artis yang datang dari Kuala Lumpur itu membuat persembahan di bawah pokok bacang itu. Tetapi Apak menolak. Waktu malam Apak adalah untuk beribadat dan juga waktu bersama keluarga. Apak tidak pandai mengikut perkara itu semua.

Kawan-kawan Apak mengejek Apak. Riuh mereka menghebohkan kepada kawan-kawan mereka yang lain kononnya keluarga Cikgu Muhammad Suria anti sosial dan tidak tahu berlibur. Apak pekakkan telinga.

Selepas habis Apak bersolat Isyak itu, di bawah pokok bacang dan di kawasan padang sekolah itu sudah penuh dengan peminat hiburan tanah air. Riuh rendah mereka terdengar sampai ke rumah. Apak tidak ambil peduli akan Sharifah Aini dan Hail Amir. Kami sekeluarga sama-sama menikmati hidangan malam tanpa memperdulikan keadaan azamat di luar rumah.

Cuma. Cuma bila Apak terdengar juru-majlis mengumumkan persembahan seorang penyanyi zaman 60-an itu, Apak mendukung saya senyap-senyap duduk di tangga beranda itu dalam remang cahaya yang datang dari pentas itu. Ohh.. rupa-rupanya Apak sukakan lagu itu. Apak merapati pipinya ke pipi saya sehinggakan saya dapat merasakan tunggul-tunggul janggutnya mencucuk pipi gebu saya. Tangannya memegang pergelangan tangan saya sambil Apak perlahan-lahan turut mengikuti senikata lagu itu...

Buah hatiku sayang,
Aku rindu padamu seorang...
Buah hatiku sayang,
Aku mimpikan dikau seorang
Hati risau mengenangmu
Hati gelisah tak bertemu
Bila terkenang wajahmu tuan..
Aku rindu selalu..
Bila malam kutunggu..

Apak menyanyi dengan sesuatu yang terbit dari hatinya. Mungkin lagu itu mengingatkannya kepada suatu kenangan yang menggigit tangkai hatinya. Atau mungkinkah lagu itu mengingatkannya kepada gadis pujaannya dahulu??

Itulah sejarah pokok bacang itu. Setiapkali terdengar lagu itu saya akan kembali ke tahun itu di pekat malam di mana Apak menyanyikan irama yang mencuit kenangan lalu dari pokok bacang itu. Sehingga kini saya tidak berani bertanyakan tentang hal itu kepada Apak.

Setelah saya meningkat usia kanak-kanak, pokok bacang itu tempat kami berehat apabila penat bermain layang-layang. Layang-layang kami berwarna putih. Kemudian kami adik beradik akan melakarkan layang-layang itu dengan gambar helang persis logo dari tin minyak masak Lam Soon. kami warnakan dengan warna merah juga. Megah layang-layang itu dengan gambar helang besar yang dapat dilihat dari jauh membelah angkasa.

Apabila dimarahi atau dipukul oleh Apak, saya akan ke bawah pokok bacang itu menangis sendirian. Pokok bacang itu akan menjatuhkan sehelai daun keringnya di atas kepala saya seolah-olah memujuk hati saya yang lara. Zaman bertukar ganti dan saya semakin dewasa. Kampung itu saya tinggalkan dan pokok bacang itu terus merentasi arus masa. Suatu petang saya terkesankan bahawa pokok bacang itu telah dipanah petir. Daunnya gugur satu persatu sehingga akhirnya hanya dahan dan batangnya sahaja yang masih utuh berdiri.

Semalam, baru saya menyedari ianya sudah tumbang menimpa dinding konkrit yang memagari kawasan sekolah itu. Itu pun hanya ketika anak saya bermain di situ. Senja itu, sebelum maghrib, saya menziarahi puing-puing pokok bacang itu. Melihatkan serpihan batang dan dahannya, hati saya dipagut kesedihan. "Engkau pergi juga meninggalkan aku, saudaraku" hati saya berbisik. Ya, saya sudah menganggapnya seperti saudara saya. Airmata saya jatuh menitis di atas batangnya yang mereput itu.

Gilakah saya menangisi pemergian sepohon Pokok Bacang...???

6 comments:

zwitterion said...

sepohon pokok bacang yg penuh nostalgia, rahsia..sehinggakan Indera menitiskan air mata..
dulu dpn rmh sy pun ada pokok bacang jugak, dh ditebang.:)

Adinina said...

ok ape menangis krn pokok..makhluk Tuhan juga..mungkin jg indera bukan rindu pd pokok bacang..tp pd kenangan2 lama dlm cerita..ataupun org2 yg berkaitan dgn pokok bacang..yg ada bau2 bacang ker.. hahaha..

Rie said...

TIDAK. DIA JUGA MAKHLUK SANG PENCIPTA. JUGA MEMAHAMI.

AKMA said...

Halus sungguh jiwa Indera. Selalunya jiwa begini mudah meramal dan memahami perasaan. :)

Anonymous said...

dia pun makhluk Allah jua, sedang melalui kubur pun kita memberi salam apatah lagi sephn bacang :)

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Huhuhu.. sedihnya. Hehehe.

Nina,
Selamat datang. Saya rasa pun mungkin juga saya bersedih atas kenangan bersamanya.

Esis,
Terima kasih kerana engkau juga begitu memahami..

AKMA,
Semakin kita menjauh dari zaman kanak-kanak, semakin keriangan itu seakan pudar dari hidup kita. Semakin banyak ujian yang ditempuhi menjadikan kita semakin bersedih hati sebagaimana yang AKMA nyatakan dalam entri AKMA sebelum ini. Lantas itu kita tercari-cari keriangan itu dan apa yang kita temui hanya sebuah memori lampau yang tidak mungkin digapai semula. Namun begitu jika kita memperolehi sisa dan tapak asal kenangan itu bermula, kita sudah cukup menghargainya.

King,
Aku sangat bersetuju denganmu. Sama seperti persahabatan yang terjalin antara kita. Aku kira engkau juga memahaminya dengan cara kita, dengan cara engkau yang unik itu...