"Baiklah Indera, sampai di sini sahaja berbincangan kita. Sekarang awak perlu ke sekolah itu, melaporkan diri sebagai guru sandaran tidak terlatih. Matapelajaran yang harus diajar ialah Bahasa Inggeris" kata Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah yang berwajah serius itu. Sebaik sahaja meninggalkan pejabat itu, saya terus ke sekolah itu untuk melaporkan diri.
Saya disambut mesra oleh kakitangan pejabat sekolah, dibawa mengadap Pengetua sekolah. Setelah diberi taklimat serba ringkas, saya kemudian dibawa ke Bilik Guru untu diperkenalkan kepada guru-guru yang mengajar di sana. Ada yang berwajah mesra, ada yang buat tidak endah, ada yang dingin dan ada pula suka mengusik. Saya tersenyum sendiri memikirkan bahawa saya kini seorang guru walaupun sekadar sandaran cuma. Lucu. Ah, aku seorang guru.
Saya diarahkan mengajar Bahasa Inggeris di Tingkatan Satu yang jumlah kelasnya sebanyak 7 buah kelas dan saya akan mengajar 5 daripadanya. Keupayaan murid dikelaskan mengikut turutan nama padi (kerana sekolah itu terletak di dalam jelapang padi). Mahsuri, Malinja, Masria, Sekencang dan beberapa nama yang sudah saya lupa.
Hari pertama itu. Hari pertama pengalaman sebagai guru itu saya masuk ke kelas Masria memperkenalkan diri sebagai guru Bahasa Inggeris mereka. "Good Afternoon, class. I'm your English's teacher and I was ordered by the Education Office to teach you for this term until your appointed teacher comes in. Well, my name is Indera and I'm very gla... ". Mereka memandang saya dengan pandangan yang kosong seolah-olah suara saya ini amat memukaukan. Pandangan bercampur dengan bingung. Saya seperti tersedar dari lamunan bahawa English ini bukan pengucapan di dewan kuliah atau seminar kerjasama Bank Negara dengan Universiti. English di sini adalah suatu matapelajaran yang sukar difahami dan jauh dari hati murid-muridnya.
Wajah-wajah anak peneroka ini saya pandang satu persatu. Wajah yang kasar dibakar mentari dengan baju yang kumal kekuning-kuningan. "Baik, nama saya Indera. Kamu semua boleh memanggil saya Cikgu Indera. Saya masih bujang. Berusia 24 tahun. Sesiapa yang berminat dengan saya, masih berpeluang lagi..". Secara tiba-tiba, wajah-wajah itu bertukar corak kepada keceriaan.
"Nama saya Junaidah Abdul Manaf. Ayah saya seorang peneroka. Hobi saya mendengar radio". "Nama saya Mohd Mikaza Bin Khairuddin. Ayah saya membuka kedai pertukangan di sini". "Nama saya Mas Salina. Hobi saya membaca majalah". Di hujung bilik darjah disambut satu suara. "Cikgu, Mas Salina adik kepada pelakon Mas Anizan itu". Oh, patutlah seiras. Murid-murid di sini hanya berminat kepada hiburan, fikir saya. Lantas saya menyambut "Mas Anizan itu siapa?". Pura-pura tidak tahu. "Alah Cikgu ni, Mas Anizan pun tak kenal".
Begitulah mereka. Sekali jauh di pendalaman, hiburan tidak pernah lali mengekori. Lantas setamat sahaja sesi perkenalan itu, saya segera meminta mereka membuka buku. Saya menduga pengetahuan mereka melalui grammer dan juga vocabularies. Ternyata mereka masih lagi di tahap awalan. Masih lagi tidak tahu membezakan antara A dan juga The. Tetapi bila ditanya lagu terbaru kumpulan KRU, tahu pula.
Satu cabaran yang besar. Saya mengambil pendekatan yang berbeza di dalam pengajaran. Saya membawa mereka ke taman sekolah. Melihat pokok dan juga serangga. Menyuruh mereka mencari perkataan di dalam Bahasa Inggeris seperti trunk, leaves, butterflies dan berbagai-bagai lagi. Bahasa Inggeris kini semakin diminati mereka. Selepas sebulan mereka berjaya merangka ayat yang mudah seperti my mother cooks in the kitchen, my friend Kahar is a very good boy.
Mereka menyenangi saya. Dalam masa yang sama takut kepada saya kerana saya salah seorang guru yang menyelia disiplin sesi petang itu. Sesekali keanak-anakan mereka sangat terserlah untuk mengusik saya. Sewaktu solat Zohor dan Asar umpamanya, sewaktu Ustaz Boos membacakan doa, mereka beramai-ramai duduk di belakang saya sambil mencuit belakang saya. Apabila ditegur selepas keluar surau, mereka hanya menyambut dengan hilai ketawa. Namun jika kerja rumah yang diberikan tidak disiapkan, pasti mereka mengeletar melihat rotan saya.
Kepada guru-guru seperjuangan, Hamdan, Razak, Jalal, Hamin, Misran dan lain-lain, saya memohon maaf kerana tidak berupaya menyempurnakan harapan mereka untuk melihat saya menjadi seorang guru terlatih. Di sekolah itu saya berkenalan dengan seorang gadis dan hampir berkahwin dengannya. Sungguhpun disembunyikan tetapi masih dapat dihidu oleh murid-murid saya. Semakin galaklah mereka mengusik.
Julai 1998, saya menerima tawaran bekerja di Kuala Lumpur dan serentak dalam masa yang sama guru sebenarnya yang ditugaskan melaporkan diri. Cantik orangnya. Anak orang kaya dari Damansara Heights. Zufriza namanya. Kami bagaikan berganti tempat. Saya ke Lembah Kelang. Dia ke Dataran Seberang Perak.
Murid-murid saya menjalani sunnatullah sebagaimana yang saya lalui sebelum mereka. Tamat pengajian di peringkat sekolah. Ada yang bekerja. Ada yang berkahwin. Ada pula yang sedang mendaki tangga menara gading. Kadangkala saya tertanya-tanya, adakah mereka mengingati saya sebagaimana saya mengingati mereka.
5 comments:
anak murid tidak pernah melupakan gurunya, anda seorang murid dahulu adakah anda melupakan guru guru anda?
p/s : saya amat kepingin mahu menjadi pendidik.
Jika seorang guru boleh ingat seorang gurunya, mana mungkin murid boleh lupakan seorang gurunya. popular pulak tu.
"my mother is a cooker" ... satu kelas mentertawakan saya. Sejak itu saya bertekad untuk memperbaiki BI saya.
Saya undi Cikgu Popular :)
Salam.
King, kata orang Cikgu ni berjiwa penyayang. Hanya orang berjiwa penyayang sahaja yang berminat menjadi cikgu. Engkau mesti berjiwa penyayang jugak, kan?? kan??
Hakim, saya dulu tak popular pun. Kontrol tu adalah..hahahaha..
Bunga Rampai, masa kat ITM dulu istilah yang sebenar Accessment Point. Tapi saya sebut Carry Mark. Lecturer tanya "Where do you want to carry..?? Haa.. carry, carry.. Malunyaaa...
tidak semestinya
Post a Comment