Friday, September 01, 2006

Irama

Jan, jan jala itik
Jala ayam
Berapa lubang kancil?
Seratus lima puluh..

Dari rumah Opah terdengar sayup-sayup Daud dan Fuziah menyanyikan irama kanak-kanak itu. Mungkin Duwan yang berusia 3 tahun itu ada bersama mereka barangkali. Cuaca petang itu cerah tetapi keliling kawasan rumah Opah dan Mak Yah sangat sunyi seolah-olah tiada orang. Yang mengisi telinga hanya siulan Riang-riang yang bersahutan di dalam kebun getah depan rumah Opah dan Mak Yah.

Sekarang baru pukul 4.30 petang. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang dari surau sebelah rumah Pakcik Udin Kengkang. Tentu Atuk yang akan mengazankannya dan Atuk sendiri yang akan mengiqamahkannya. Kemudian Atuk akan bersembahyang sendiri lantaran tiada jemaah. Sekali-sekala mungkin Tuk Timin datang bersolat bersama Atuk, tetapi Tuk Timin itu pun sekarang ini sudah uzur benar. Semalam Atuk bercerita, bulan ini sahaja sudah 50 orang pulang ke rahmatullah. Sehinggakan satu hari itu, ada 3 kematian serentak dalam kampung ini. Burung Hantu pun semenjak dua menjak ini lain benar sahutnya. Panjang dan menyeramkan. Uuuuuoooookkk, uuookk.

Dari bawah rumah, Mak Yah melaung memanggil Nyah Yati dan Fuad agar bersegera ke bendang membawa anak semai untuk ditanam. Air sudah memenuhi di petak. Dari baruh dan hulu kelihatan orang berbasikal menyusuri ban dan barisan pokok kekabu untuk tujuan yang sama. Nyah Yati dan Fuad nampak tidak endah. Mata mereka terpaku di kaca television kagum melihat aksi Chun, watak utama drama Jepun Moero Attack melakukan somersault. Kalau boleh mereka juga ingin hebat seperti Chun dalam permainan bola tampar. Tetapi apakan daya. Mak Yah sudah tiga kali melaung. Cuma diiyakan sahaja panggilan Mak Yah itu. Mak Yah sudah hilang sabar, lantas berdegum-degam memijak anak tangga sambil berleter. Mak Yah mengetap bibir memulas telinga Fuad dan Nyah Yati yang culas ke bendang. Mencicit Fuad dan Nyah Yati berlari masuk ke petak dengan mengepit anak semai di bawah ketiak masing-masing.

Sekumpulan bangau putih terbang melayang dari arah selatan turun mencari makan berhampiran tanah setompok di darat bendang Mak Yah. Saya mengekori Mak Yah dari belakang. Juga turut sama mengepit anak semai. Mak Yah menyuruh saya pulang, jika tidak kelak akan lebih mengotorkan baju saya yang bersih. Saya menunggu Fuad dan Nyah Yati dari sudut petak yang luas itu. Maklum sahaja petak pusaka turun-temurun. Melihat saya enggan berundur, Mak Yah menyuruh saya menahan taut di petak sebelah, milik keluarga Wan Saenah yang belum dibajak oleh tuannya. Airnya jernih, turun dari alur berdiri yang menyusuri kebun getah Atuk yang luas dua ekar itu. Kata orang, alur berdiri ini tempat laluan jin. Entahlah, saya pun tidak pasti. Namun rezeki petang itu agak lumayan. Saya berjaya menaikkan 2 ekor ikan haruan yang panjang dua jengkal, 3 ekor ikan puyu dan seekor ikan sepat ronggeng. Fuad menunjukkan ibu jarinya bergembira kerana makan malam ini akan agak mewah.

Pulang sahaja ke rumah, Mak Yah terus masuk ke bilik air membersihkan diri untuk bersolat Maghrib. Nyah Yati pula mandi di telaga dengan baju-bajunya sekali. Fuad berkejaran menyakat Fuziah dan Daud dalam lumuran lumpur bendang penuh sebadan. Badannya sudah berbau lumpur, ikan, keringat dan macam-macam lagi bau bersatu yang amat mesra dan sebati dengan hidung saya. Atuk sudah mengeluarkan basikal untuk ke surau dan akan pulang selepas habis solat Isyak. Sempat juga Atuk memarahi Fuad kerana berkejaran dan terlompat kinja di bawah pokok rambai besar itu di dalam lewat senja.

Malam selepas Maghrib persekitaran kampung itu sudah mulai sunyi sepi. Burung wak-wak bersahut-sahutan dari dalam semak kabong berhampiran tanah perkuburan kampung mengiringi senja dan menyambut malam yang berlabuh. Dari dalam bilik kedengaran suara Mak Yah meninggi memperbetulkan makhraj huruf Nyah Yati yang tidak betul. Fuad pula sedang menunggu gilirannya. Di rumah sebelah, Opah sedang tekun membaca Al-Quran sementara menunggu Mak Nah pulang dari hospital setelah selesai kerja sesi petang jam 9.00 malam. Menu untuk makan malam itu ialah Gulai Hijau Ikan Haruan dan Peria Katak bergaul sambal kelapa masakan Nyah Yati. Mak Yah tidak punya wang untuk membeli di kedai. Semua itu diperolehi dari keliling rumah Mak Yah sahaja.

Selesai sahaja makan malam itu Fuad terlentang di atas katil tertidur dalam kekenyangan dan keletihan. Tidur tanpa terlebih dahulu menyiapkan kerja sekolah. Buku-buku sekolah yang lusuh tersisip rapi dalam beg sekolah yang kumal dan sudah berjurai-jurai benangnya. Fuad tidur dalam senyuman. Diulit irama sahutan burung hantu dalam kebun getah Atuk. Bermimpikan harapan hari esok yang kelabu. Bermimpikan lubang kancil sebanyak seratus lima puluh.

2 comments:

kingbinjai said...

oooo dah lama tak tengok chun beraksi

INDERA KENCANA said...

Ooo..engkau pun tengok Chun jugak, ye King!! Ko rasa cun tak Chun tu..??