Thursday, September 28, 2006

Suatu Petang Ramadhan di Bandar Tasik Puteri

Petang itu petang yang cerah. Mentari bersinar kemerahan di ufuk barat. Warga Bandar Tasik Puteri ini seakan menyerap tenaga dari matahari ini dengan berduyun-duyun melimpah Bazaar Ramadhan di atas bukit berhampiran dengan sekolah itu. Di tepi-tepi jalan, kenderaan pelbagai saiz sudah memenuhi pinggiran tanpa dapat mencelah barang seruang pun. Suasana kelihatannya amat meriah dengan payung-payung dan gerai-gerai yang berwarna-warni.

Sebaik sahaja melepasi simpang ke Resort Golf itu, saya berkira-kira di dalam hati tentang kewajaran untuk turun singgah membeli juadah. Sekurang-kurang beberapa ketul kuih pedas sudah agak memadai. Maklum sahaja tinggal bujangan ini dengan isteri dan anak-anak jauh di kampung, apa perlunya membeli juadah yang banyak kerana hanya saya seorang sahaja yang menjamah hidangan. Lainlah jika mereka ada bersama, tentu sahaja suasana akan lebih meriah jika pelbagai menu menghiasi meja sambil melayan kerenah anak yang keletah.

Melalui kawasan Bazaar Ramadhan ini, aroma ayam percik seakan menarik saya untuk ke sana namun saya kuatkan hati. Matahari semakin lama semakin menenggelamkan dirinya di balik horizon meninggalkan remang jingga menandakan waktu berbuka semakin menjelma. Saya singgah di deretan kedai berhampiran dengan kawasan rumah saya untuk membeli sedikit sayuran mentah.

"Eh, Abang Indera!!! Abang Indera, kan?". Seorang gadis manis menegur saya. Saya terkalap sejenak memikirkan milik siapakah gadis ini. Tiba-tiba di belakang, ibunya menoleh ke arah saya. Oh, kakak kepada kakak ipar saya rupanya, dan yang menegur itu anaknya. Mereka membuka meja bagi menjual kuih di bulan Ramadhan ini.

"Abang Indera nak beli apa di kedai tu..??" tanya si gadis manis.
"Errr...aaaa.. anu. Saya nak beli sayur"
"Beli sayur...?? Buat apa..?? Abang Indera masak, ye?? Eeeeiii, pandai Abang Indera masak" ramah sungguh gadis ini. Si Ibu hanya tersenyum sahaja.
"Errr.. aakk, tak pandai pun.. Cuma tak suka membeli lauk di gerai" kata saya.
"Yelah, beli di Bazaar belum tentu rasa. Baik masak sendiri, lagi puas hati, kan?" Si Ibu menyampuk. Kacau daun.
"Ye, ye. Tak apalah kak ye, saya beli barang sekejap.." Saya meminta diri.

Di kedai itu saya membeli sayur-sayur dan 2 ekor ikan. "Berapa, bang?" tanya saya. "RM4.00 sahaja, bang" kata peniaga itu.

Setelah berpuas hati, saya berlalu ke kereta.
"Abang Indera tak nak beli kuih??" tanya gadis manis.
"Boleh juga. Kasi saya popia goreng seringgit, ye"
"Tabung apa tu Abang Indera..??" tanya gadis itu lagi sambil tangannya lincah memasukkan kuih ke dalam beg plastik.
"Errr.. tabung air. Bayar 20 sen boleh dapat setabung besar" jawab saya malu.
"Ohh.."

Setelah membayar, saya mengucapkan selamat berbuka buat dua beranak ini.
"Datang lagi, ye Abang Indera" lambai gadis itu.
"Ya, akanku datang lagi, gadis manis" ujar saya di dalam hati. Senang sekali.

Masuk sahaja di dalam kereta, saya tersenyum memikirkan wang di dalam dompet berbaki RM 5.00. Masih cukup untuk membayar tol pagi esok. Zaman yang serba mahal mendesak perbelanjaan yang berhemat.

Saya tidak pasti apakah yang terlintas di benak gadis itu dan ibunya. Mungkin mereka berpendapat bahawa saya ini kedekut. Tetapi..., ahh!! tinggal hanya RM5.00.

5 comments:

kingbinjai said...

gaji dah masuk ni, boleh la belanja lebih skit kot?

INDERA KENCANA said...

Aku cadang dulu, dapat gaji nak beli tepung pelita engko. Eh, apa beza tepung pelita dengan tepung gomak, ek..??

hakim dirani said...

Indera,
sekarang ni dah nak masuk musim raya. anda mampu berjimat ke?
kalau mampu kuat la.

kingbinjai said...

tepong gomak belum masak. tepung pelita dah masak. bila nak pi bdr tasik puteri lagi? kim salam ek? hehehehe

INDERA KENCANA said...

Hakim, Harap-harap tahun ni ada bonus dan diberi sebelum cuti raya. Adalah duit sket. Kalu tak.. alamatnya anak buah tak merasalah duit rasa saya..

King, oooo like that aaa..?? Baru gua tahu looo...
Nanti aku kim salam kat awek tu..
Salam je..?? Hulur-hulur tak ada..??