Wednesday, January 17, 2007

Bila saya berkunjung ke sana..

Saya teringat suatu ketika dahulu, apabila Mak dan Apak membawa saya berkunjung ke rumah Mak Uda Zaidah, saya akan terlompat kinja dan bermain seperti orang sasau dengan anak bongsu Mak Uda Zaidah, Razak. Melihatkan kegembiraan saya, Mak Uda Zaidah pasti menahan saya dari pulang ke rumah Mak dan bermalam di rumahnya buat beberapa hari. Biasanya saya akan bersetuju. Tambahan pula dengan adanya Razak, pasti hari-hari saya akan dipenuhi dengan aktiviti bermain dan pelbagai kegilaan.

Namun kebiasaannya yang terjadi sebaliknya. Masuk keesokan harinya saya akan diserang demam. Saya tidak berselera makan dan banyak termenung. Mak Uda Zaidah akan bertanya,
"Indera, Indera sakit..??"
Biasanya saya akan menggelengkan kepala. Memberitahu Mak Uda Zaidah bahawa saya tidak apa-apa. Hakikat sebenarnya saya memang ada apa-apa. Saya menahan kerinduan kepada Mak, Apak dan juga adik beradik. Kerinduan sehingga boleh menyebabkan demam.

Setelah demam saya tidak sembuh buat beberapa hari, Mak Uda Zaidah akan menghubungi Apak di kampung. Sebaik sahaja kereta Apak memasuki halaman rumah Mak Uda Zaidah, secara tiba-tiba sahaja demam saya menjadi sembuh dan saya bermain kembali seperti asal. Bermain seperti orang sasau. Seolah-olah demam beberapa hari yang lepas itu ibarat mimpi sahaja.

Mak Uda Zaidah punya minat yang pelik. Dia gemar menceburkan diri di dalam projek-projek tertentu yang melihatkan industri kecil dan sederhana. Kebanyakan industri yang berasaskan makanan. Mak Uda Zaidah pernah menternak ayam daging dalam jumlah yang besar. Punya reban yang besar dan panjang, yang mampu menampung bilangan ayam berjumlah beratus-ratus ekor dalam satu masa, pernah menceburkan diri di dalam projek ternakan dan penanaman cendawan dan dia juga pernah mengeluarkan sos cili dan rojak jenama sendiri.

Entah di mana silapnya, kesemua projek-projek tersebut tidak bertahan lama. Bukan kerana tiada pasaran dan juga permintaaan, namun di mana silapnya saya sendiri pun tidak tahu puncanya. Pengeluaran sos cili dan rojak hanya bertahan selama beberapa tahun sebelum ianya ditutup dan tidak diusahakan. Penternakan ayam hanya bertahan selama 3 kali keluaran hasil sebelum reban ayam yang besar itu terbiar mereput tanpa penghuninya.

Tetapi istimewa Mak Uda Zaidah adalah pada masakannya. Yang paling saya gemari ialah Gulai Perut (babat) dimasak tauchu bersama cili padi. Sewaktu mengadap menu ini, bersedialah dengan sejag besar air batu sirap. Kepedasannya bisa membuatkan telinga berasap...

Yang peliknya juga Mak Uda Zaidah tidak akan menurunkan resipinya kepada sesiapa. Apabila ditanya sebab kenapa Mak Uda terlalu kedekut mencurah ilmu. Jawapannya tetap sama.
"Nanti kalau kamu sudah pandai masak, kamu tidak mahu lagi singgah rumah Mak Uda.."

Sewaktu bangun pagi di rumah Mak Uda Zaidah, udara pagi yang masuk melalui jendela akan berbuar dengan aroma kenanga, tanjung, baki aroma harum sundal malam dan juga bakawali. Di keliling rumahnya ibarat taman dahulu kala yang menyimpan rimbunan pokok bunga yang segar.

Kini Mak Uda Zaidah sudah tua. Hari tuanya dihiburkan dengan telatah cucu-cucu yang tinggal bersamanya. Kadang-kala ketika berkunjung ke rumahnya saya akan membelek-belek mesin mengadun sos cili. Hendak dibeli tidak pernah disahutnya. Namun tidak juga dijual. Sungguh Mak Uda Zaidah punya perangai yang pelik..

9 comments:

Anonymous said...

salam
Dia suka berniaga tapi mungkin tiada motivasi untuk meneruskan usaha? Mesin pengadun sos mempunyai sentimental value buat mak uda Zaidah.

Di rumah ada apa ye?? Oh! Pokok Krismas kecil yang diberi percuma. Sudah senget. Tapi, bonda kata, cantik juga.. biarlah di situ.

Ya, ya... jadi perangkap habuk. Sentimental value ke?

hayad said...

kecor air liur baca masak perut tuh...slurpp!! hehe

Unknown said...

teringat pula pada sauadar2 tua yang jarang2 dijengah.

zwitterion said...

org tua2, susah diorang nak jual2 benda2 kesayangan mereka...

Anonymous said...

oelik ke? macam biasa je? ha ha

blackpurple @ jowopinter said...

Babat masak tauchu bersama cili padi ?

Kesukaan saya juga tu. :D

Sang Perba said...

tetiba teringat mak menrtua kat taiping nun...

achik said...

pertama kali saya makan perut saya ingatkan tu "sayur" hehehe...

INDERA KENCANA said...

Khairyn,
Betullah kan? dari jadi perangkap habuk, bukankah lebih elok jika dijual?

Dayah,
Hmmm.. slurrpp memang best.

Aminbakish,
Jika berkunjung, titipkan khabar berita dari mereka di sana.

Zwit,
Bak kata khairyn, ada sentimental value.

King,
Pelik. Aku pun tak tahu macam mana aku boleh rasa pelik.

Bro BP,
Sekali rasa memang nak lagi, kan?

Jer,
Wahh.. menantu mithali nih...!!

Achik,
Hah..?? Sayur??