Sunday, January 21, 2007

Hari ribut, runduklah padi..

"Hmmmm... dah dua hari hujan. Berhentinya adalah dalam 5 minit. Lepas tu dia sambung sampai ke malam. Dari malam membawa ke pagi. Mendung saja hari... Cuaca pun makin sejuk" kata Mak sambil memandang jauh ke luar.

"Kalau sebulan cuaca macam ni, Mak boleh tanam epal.." kata saya. Tiba-tiba saya teringatkan seorang teman di bumi sejuk yang langitnya sering sahaja mendung-mendung.

"Baba, jom la kita naik motor, Baba. Kak Long nak tengok kerbau..." rengek Siri Aufa.

Saya mencari-cari kunci motor di atas palang tempat Apak meletakkan koleksi kunci-kuncinya. Kunci yang sudah tidak berguna yang berusia 20 tahun yang lepas pun masih setia berada di situ. Bilangannya saban tahun semakin meningkat jumlahnya. Namun Apak tetap tidak ingin membuangkan kunci-kunci lamanya.

Sebaik sahaja enjin motosikal dihidupkan, hujan turun mencurah-curah semula. Di wajah Siri Aufa terbayang kehampaan. Dia duduk di tempat paling hadapan dengan kaki diletakkan di dalam raga motorsikal. Saya di belakangnya. Faiz yang tembam dan berpunggung besar itu diapit antara saya dan abangnya Imran yang kurus kering. Jika Faiz mengerakkan punggungnya, pasti Imran yang di belakang sekali itu menjerit kerana takut tercicir jatuh dari motorsikal. Maklum sahaja punggung adik bongsu dan Achiknya sahaja sudah memenuhi ruang duduk yang terhad itu.

Dalam larat mendung itu, haiwan ternakan barangkali lebih enak bersenang-senang di dalam kandang daripada basah kesejukan di dalam kebun atau di padang ragut. Seekor kerbau atau lembu pun tidak kelihatan. Hujan turun semula.
"Kita singgah rumah moyang dulu, ye!!. Nanti bila hujan reda sekali lagi, kita sambung berjalan.." pujuk saya pada budak-budak itu.
"Alaaaaaa........"

Rumah Opah sunyi. Yang ada cuma Opah dan Mak Nah. Mujur ada Fuziah datang membawa anak-anaknya bermain dengan Siri Aufa. Dalam leka berbual itu, Mak Nah masih sempat menggoreng pisang dan membancuh kopi O pekat. Wahh.. langkah kanan nampaknya. Memang kena waktu hujan-hujan sebegini menghirup kopi O bersama goreng pisang panas.

Hujan masih belum reda. Titis-titis hujan berguguran menimpa bumi dan pemandangan di dalam kebun getah tua milik arwah Atuk kelihatan begitu suram. Begitu juga suramnya hati-hati mereka yang menghuni perdusunan itu.
"Kita pergi Telok Bakong, hendak?" tanya saya kepada anak buah saya sebaik sahaja hujan reda.
"Hoorraayyy..." tempik budak-budak itu diikuti oleh Siri Aufa.

Sampai sahaja di simpang hadapan rumah Pak Akob, kami membelok ke kiri dan terhenjut-henjut perlahan-lahan melalui jalan berpasir putih yang tidak rata. Seekor burung bangau berwarna coklat di belakangnya, terperanjat dengan kehadiran kami lalu terbang laju dan semakin menjauh ke petak sawah di arah tenggara.
"Burung, Achik. Burung!!!" anak buah saya bersorak.
"Mati enjin, mati enjin..!!" pinta mereka.

Saya mematikan enjin motosikal. Terpaku melihat pemandangan yang sangat indah di larat mendung waktu sore. Di dalam petak yang tidak diusahakan, mengenang air laksana tasik. Bercampur buar jernih airnya dengan warna keputihan bulu burung bangau besar. Ada pondok usang yang masih berdiri di tepi taliair, membuatkan pemandangannya ibarat lukisan alam.
"Wahh, Faiz. Tengok pokok tu, tersusun cantik... Satu, dua, tiga... wahh sebelas batang pokok semuanya!!" kata Imran. Dia baru pertama kali ke situ. Sedang saya pula, itulah tempat saya duduk termenung dan berlama-lama di situ sewaktu saya masih bujang lagi. Itulah tempat yang terindah di kampung saya.
"Wahh... cantik betullah Achik.."

Kemudian mereka bersorak melihat empat ekor burung bangau berjalan terkedek-kedek di atas jalan yang berpasiran putih itu. Tidak manusia di situ kecuali kami.

Beberapa tempat, padi runduk ditiup angin kencang...

Hari ribut
Runduklah padi
Padi cupak
Dato Temenggung...

Hati siapa yang tak rindu dendam
Hati siapa yang tak kasih sayang
Wajahmu umpama gula...

13 comments:

Anonymous said...

tak terbayang aku

hayad said...

cptlah dptkan dg cam abg indera. Tak terbayang lah,ehe. Mesti syok pemandangannya

achik said...

wah cam best je pemandangan...

hehe.. en indera pun achik ek :)

Anonymous said...

AKMA senyum sendiri membaca entry ini. Kekuatan Indera adalah dalam menceritakan sesuatu dengan begitu detail! Jelas terbayang suasana setiap kali membaca catatan Indera. Dan entry kali ini bisa saja mengundang rindu ke lubuk hati AKMA. Rindukan pemandangan begitu. Rindu bau tanah. Rindu bau pohon. Di sini...ada juga tanah...ada juga pohon...tapi...manakan sama bumi sendiri...

Anonymous said...

Hari yang biasa menjadi luar biasa dengan penangan coretan Indera.Saya kagum.

Betul AKMA, bau tanah di sini tak sama bau tanah di negara sendiri. Masamnya lain hehehe.. lama tak 'ketemu' dengan AKMA. Apa khabar?

Anonymous said...

AKMA? Baik-baik saja.

Indera...tumpang lalu...nak letak lirik lagu kat sini..aci yeh..he he he

Tujuh Nafas Lagi - M.Nasir

Inikah dia
Yang ku impikan
Dalam lambaian firdausi
Kali ini ku harapkan
Bukan fatamorgana lagi

Jiwa lama bersengketa
Sedang hakikatnya kita sama-sama redha
Hati hamba dah sedia
Perjalanan ini tinggal tujuh nafas lagi

Sepertimu
Aku juga pernah persoalkan kekuatan batinku
Dalam seribu kekalutan ku cinta
Dalam sejuta resah ku cinta jua
Dalam mimpi ngeri aku lihat cinta
Dalam rasa paling rendah ku angkat cinta

Rinduku bukan kemurahan
Jika mahu dianggapkan mainan
Kau tanya bilangan namamu ku sebut
jawapnya hanya sekali lafaz tak terputus
Cinta ku yang ku maksudkan
Seperti buih-buih di milik lautan
Seperti nafas yang meresapi badan
Seperti kenangan yang tak pernah luput selamanya...

Anonymous said...

Salam buat Indera,

Dapat saya bayangkan suasana yang Indera gambarkan itu. Bisa saja membuat mata pejam, tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan ... aaah, redupnya sukma. Ingin sekali berlari ke sana saat ini...memandang, menyentuh, menghidu segala yang tersedia.

Kagum dengan ciptaanNya, mencetus rasa cinta yang tiada taranya.

Maaf Indera, mohon izin, mahu menyiar rasa pada Akma di teratakmu ini.

Salam Akma,

Lagu itu sesuai dengan jiwa pengembara saya kira, apa lagi kembara hati dalam menyusur jalan Khaliq. Kembara hidup hanya akan berihat seketika apabila denyutan nadi terhenti, namun itulah titik permulaan satu kembara lagi, nafas terus dialun. Moga kembaramu dalam damai dan tenang :)

Aduh Indera, apalah celoteh saya pagi ini...

Salam Maal Hijrah.

Sang Perba said...

Bulan semakin gerhana,
Mentari bertambah merah,
Lautan semakin berkelodak,
Sungai berolek-olek keruh,
Tanah sekian tahun menderita,
Awan pekat hitam,
Angin mula membisu seribu kata,
Hujan sudah malu menjamah bumi,
Hutan mula hilang rimbunan indah,
Pantai sudah terlalu sepi,
Cuma yang masih bertiup semangatku
yang menghirup udara MERDEKA
di tanah bertuah ini.....

KAMATO said...

indera, memang tulisan mu begitu indah

blackpurple @ jowopinter said...

Seumur hidup belum pernah sedetikpun menjejakkan kaki ke sawah.

Kalau melihat dari gambar pun sudah indah, apatah lagi melihatnya didepan mata....

Kebesaran Allah...

zizie ali said...

hari ribut, runduk lah paaadi
padi cupak, datuk temeeenggung

Sunan_Jati said...

wah... enak betui baca ayat kamu nie... hahahaha!

INDERA KENCANA said...

King,
Caranya senang. Tutup mata. Tenangkan fikiran. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus..


Dayah,
Insya-Allah sedikit masa lagi dapatlah saya letakkan gambar-gambar tu di sini.

Achik,
Ya, saya pun Achik juga..

AKMA,
Andai kata tulisan saya dapat menghilangkan kerinduan AKMA, nanti saya tulis banyak-banyak...

Bagaimana dengan perkembangan Thesis akhir sekarang ini?


Khairyn,
Terima kasih.

Tak sama ke bau tanah di sana dengan bau tanah di Malaya..??


AKMA
Saya memberi laluan. Kagum.

Salam Bunga Rampai,
Saya amat menyenangi celoteh Bunga Rampai. Celotehlah selalu.

Salam Maal Hijrah.


Ahmad Marzu,
Tiada apa yang lebih bahagia selain daripada berlarian dalam becak bumi MERDEKA..

Saudara Kamato,
Saya gembira jika saudara menyenanginya. Terima kasih. Tulisan saya hanya biasa-biasa sahaja.

Bro BP,
Kegembiraan di sawah bisa sahaja seperti kegembiraan kita menyusuri denai kelapa sawit atau nanas. Bergantung di mana bumi yang kita cinta.

Zie,
:) Pandai engkau menyanyi, Zie..

Kanjeng Sunan,
Terima kasih :)