Thursday, January 11, 2007

Gambar-gambar

Saya sering terfikir, jika saya punyai lebih wang, apakah yang akan saya lakukan dengan wang itu? Setelah ditolak jumlah simpanan dan keperluan keluarga, apakah suatu benda yang saya inginkan. Nilai wang itu tidaklah banyak, tetapi memadai kiranya saya berupaya untuk mencapai barangan yang dihajatkan selama ini.

Telefon Bimbit? Hmmm... mungkin tidak. Saya tidak pernah ambil kisah langsung akan telefon bimbit ini serta teknologi yang menghambatinya. Saya masih lagi selesa dengan Nokia 3315 saya itu sekalipun nampak sudah tidak sesuai digunakan di zaman bahan visual bergerak bebas dari satu talian ke talian yang lain. Telefon bimbit saya hanya mampu menerima teks sahaja. Pun begitu saya sangat gembira dengannya dan tidak pernah rasa malu menggunakannya di khalayak.

Saya berfikir lagi. Ada tidaknya yang mampu membuatkan saya tersenyum, mungkin jika saya memperolehi sebuah kamera digital jenama yang dikenali atau sebuah komputer riba teknologi terbaru. Ahhh.. komputer riba itu terlalu mahal.. Ya, saya inginkan sebuah kamera digital jenama yang dikenali itu!!. Saya kepingin sekali agar blog saya ini dihiasi dengan gambar-gambar yang berkaitan dengan artikel yang saya nukilkan seharian. Ingin berkongsi dengan teman-teman, gambar-gambar peribadi saya terutamanya gambar-gambar yang berkaitan dengan kampung saya. Keindahan sawah padi yang menghijau serta burung-burung air yang turun mencari makan di dalamnya sungguh mempesonakan ibarat lukisan alam kurnia ilahi.

Saya ingin berkongsi dengan teman-teman semua, potret insan-insan kesayangan saya. Saya teringatkan seorang teman pernah berkata kepada saya.
"Ingatlah. Setiap pagi engkau akan melihat Allah tersenyum padamu..."
Maksud kata-kata itu ialah kita mampu melihat Allah "tersenyum" itu dari senyuman manusia yang berpapasan dengan kita setiap pagi. Kenapa begitu? Kerana manusia itu adalah ciptaan Allah yang ulung dan agung. Manusia itu juga tanda kekuasaan Allah. Walaupun berbilion jumlah umat manusia ini, namun setiap mereka itu berbeza dari raut wajah, penampilan, pembawaan dan sikap dengan nyata sekali. Allah juga memasukkan ke dalam diri manusia itu sebahagian dari sifat-sifatnya seperti pengasih, penyayang, pemurah dan lain-lain lagi. Melihat ciptaanNya umpama kita memandangnya...

Melalui gambar-gambar akan menceritakan tentang 1001 satu perihal yang tidak pernah kita ketahui sebelum ini. Saya ingin merakamkan gambar teman-teman blog saya. Dari orang asing, saya mengenali hati budi mereka. Akhirnya kami menjadi sahabat yang sangat akrab... Sesuatu yang sangat menghairankan bagi saya.

Saya ingin merakamkan segalanya tentang ciptaan ilahi. Ingin mengongsikannya dengan mereka yang berminat.

Indera : Saya masih seperti dulu. Sebuah ketul ais yang keras dan dingin. Mereka berkata saya tidak punya perasaan. Wajah saya langsung tidak terganggu dek riak. Tetapi siapakah yang dapat menduga arus di lubuk dalam itu?

12 comments:

Anonymous said...

salam

saya juga senyum. InsyaAllah dimurahkan rezeki.

nota : Tiada riak? Dingin? Bak kata pepatah air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Apa?? Indera 'buaya'? Mahu merasa hayunan kayu sakti dari wirawati? Silalah kalau mahu kerana wirawati semakin mahir sekarang. Tanah jajahan takluk juga semakin luas. Kebetulan rakan se-penyelamat pula tidak menghadirkan diri hari ini.

Anonymous said...

semoga hajat mu tercapai

p/s : jika saya ada duit lebih pasti saya hadiah kan kamera itu kepada anda

Anonymous said...

Kamera digital saya masuk hospital. Dah sebulan lebih dekat ICU gara2 MAHA 2006. Amplang pula dah dapat. Tapi tak boleh nak attach kat blog. Sedih betullah..

Moga dimurahkan rezeki dapat beli kamera..saya teringin nak tengok Siri Aufa.

INDERA KENCANA said...

Salam Khairyn,

Wahhh... pasti sakit jika terkena hayunan kayu sakti milik Wirawati itu. Kasihan Wirawati terpaksa berjuang keseorangan. Kenapa rakan penyelamat itu tidak menghadirkan diri? Demamkah dia? Sampaikan salam saya pada rakan penyelamat itu ye!!

Saya ingin menjadi seperti Wirawati. Berkelana jauh ke negeri di atas bayu. Berdikari dan berjuang sendiri. Masih adakah cara untuk saya menjadi seperti Wirawati?


King,
Kalau aku ada sen nanti, boleh ko ajar aku macam mana nak transfer gambar tu ke blog?

INDERA KENCANA said...

Salam Iman,
Jadi tak adalah Amplang...?? (Rantan)

Insya-Allah, kalau ada rezeki...

Unknown said...

saya pun nak beli kamera yang elok sikit bila ada lebih duit...

betul, sekeping gambar boleh menceritakan segalanya.. :D

semoga en. indera dapat capat hajat tu. saya juga harapnya :D

Adinina said...

kalau mampu pun beli hp yg mahal, ia hanya buat sakit kepala kerana perlu sentiasa diawasi supaya x hilang atau terjatuh dan rosak.lebih baik pki mengikut keperluan. kalau yg murah tu hilang pun xpe...ekekekke.

gambar? yes..come on bro...gambar si kenit,si sawah padi,...menarik tu...bubuh nnt eh?

achik said...

mmm makin best la kalau buh gambar plak pasni... semoga dimurahkan rezeki :)

hayad said...

Adalah rezki tu nnt, saya pun dapat camera atas ihsan emak,ehe

Anonymous said...

Salam Indera,

Bersederhana dalam segala-galanya, itu yang afdal saya kira.

Moga layangan hajat hati untuk memiliki kamera itu dimakbulNya.

Selamat berhujung minggu :)

INDERA KENCANA said...

Aminbakish,
Kerana gambar mampu mengungkap seribu maknalah makanya saya berhajat benar untuk mendapat seunit kamera idaman. Hehehehe...

Nina,
Jika ada rezeki nanti saya letakkan gambar-gambar itu untuk tatapan Nina.

Achik,
Terima kasih. Hehehehe...

Dayah,
Dayah ada juga... saya langsung tak ada.. Huhuhuhu..

Salam Bunga Rampai,
Saya akan beringat di dalam perbelanjaan. Insya Allah.

Terima kasih :)

zwitterion said...

moga tercapai impian Indera