Friday, January 05, 2007

Waktu Itu

Saya terkenangkan satu peristiwa di mana saya di dalam usia remaja. Sebaik sahaja keputusan peperiksaan SPM diumumkan, saya dan rakan-rakan sibuk mengisi borang kemasukan ke universiti. Setelah berbulan menunggu dengan debaran, seorang demi seorang diterima masuk ke universiti di serata semenanjung, manakala saya pula langsung tidak menerima sebarang tawaran. Jika mengikut kelayakan, saya sememangnya boleh mendapat tempat tetapi saya bingung dan buntu apabila saya tidak menerima panggilan masuk pun. Setelah dikaji, rupa-rupanya saya telah tersilap mengisi borang.

Saya memang tidak suka dan benci dengan sekolah lama saya. Apak pernah berjanji dengan saya bahawa saya harus menamatkan tingkatan lima dengan jayanya, maka sesudah itu terpulanglah kepada saya untuk menentukan haluan saya.

Rupa-rupanya Apak mungkir janji. Dia berkeras memaksa saya masuk ke tingkatan enam di sekolah lama saya dan juga memaksa mengambil jurusan Usuluddin. Sebaliknya saya memilih jurusan Syariah. Oleh kerana tiada minat, ditambahi pula dengan khabar berita teman-teman di kampus, saya langsung enggan belajar. Hampir sebulan saya tidak menghadirkan diri ke sekolah.

Di dalam kekalutan itu, saya memulangkan janji Apak dahulu. Akhirnya Apak tiada pilihan lain melainkan membenarkan saya mengikuti pengajian di tingkatan enam sekolah harian.

Maka bermula episod baru dalam hidup saya. Hari pertama di tingkatan enam itu saya telah ditertawakan kerana memakai seluar berwarna hitam, sedangkan pelajar tingkatan enam di sekolah itu berseluar putih.

Awal-awal pagi sudah bangun kerana bas untuk ke sekolah yang jaraknya 30 kilometer akan lalu di kampung saya seawal jam 6.15 pagi. Bersama rakan-rakan lama di sekolah rendah dahulu, kami merentas dingin kabus pagi menaiki bas ke sekolah dan tiba pula di rumah setelah jam melangkaui 3.00 petang. Begitu rutin harian hidup kami.

Di sebelah malamnya, kami akan melepak di rumah guru bujang mengganggu tugasannya. Rumah itu sudah seperti rumah kami sendiri. Makan, minum dan bertidur baring seenaknya. Kebetulan Cikgu Hamid, guru bujang terlajak itu langsung tidak ambil kisah malah mengalu-alukan lagi kedatangan kami. Mungkin dia sendiri kesunyian barangkali!!.

Buku-buku hanya akan dibaca jika hampir dengan ujian atau peperiksaan akhir tahun. Suatu pagi itu, bas agak lewat tiba. Jam tujuh baru mendengar ngauman enjinnya. Kami keresahan, bimbang diambil tindakan disiplin. Akhirnya jam 8.00 baru kami tiba di luar pagar sekolah.
"Kenapa lambat?" tanya Cikgu Ravendran. Guru Disiplin.
"Errr... errr.." saya kehilangan kata-kata.
"Errr... rumah kami jauh, Cikgu. Sebab itu kami datang lambat" kata Alang.
"Jauh? Berapa jauh?" tanya Cikgu Ravendran.
"30 Kilometer" jawab Alang.
"Ayoyo.. banyak jauh ooo... OK, next time, kalau you orang datang lambat, jangan masuk ikut pintu depan. Nanti Mr. Principal nampak. Ikut laluan di belakang sekolah. Nanti kalau pengawas tanya, cakap saya kasi kebenaran pada you all..."

Semenjak hari itu kami mempergunakan kebenaran Cikgu Ravendran itu sewenang-wenang. Jika bas jam 6.15 itu sampai di kampung, kami akan menyorok di belakang kedai kerana selagi kelibat kami tidak kelihatan, abang pemandu bas itu akan terus menunggu selama setengah jam. Setelah setengah jam, kelibat kami masih belum muncul juga, dia akan berlalu pergi sedang kami yang menyorok di belakang kedai itu akan terkekeh-kekeh ketawa.

Jika kami sampai awal di pekan kecil itu, kami akan bersarapan dahulu di kedai Pak Aji yang terkenal dengan mee goreng 20 sen sambil melihat pelajar lain berlari-lari mengejar masa untuk masuk ke pintu pagar sebelum 7.30 pagi.
Hoi, kome. Tak takut lambat ke..?"tanya Ahmad Bulu, pelajar tingkatan lima.
"Ehhhh... apa hal nak datang awal-awal. Kitaorang tingkatan enamlah tau tak..., cepat-lambat ni tak kisah punya...!! Engkau tu cepat sikit. Nanti kena rotan dek cikgu Ravendran pulak" jawab kami.

Pelajar lain sedang berhimpun di perhimpunan. Kami pula menyelinap masuk ke dalam kelas.

Sewaktu peperiksaan akhir tingkatan enam rendah, saya sekadar mendapat 2P 2R. Saya tahu bahawa saya tidak akan berlama-lama di tingkatan enam itu kerana saya langsung tiada minat. Tawaran masuk ke ITM merubah hari dan wajah saya. Saya diminta mendaftarkan diri ke Kampus Shah Alam pada Januari tahun itu. Apak tidak berkata apa-apa. Sekurang-kurangnya saya adalah anaknya yang pertama menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Tinggal sudah kawan-kawan semua. Melihat wajah mereka yang kesedihan sewaktu saya mengucapkan selamat tinggal itu cukup membuatkan hati saya sayu. Din, mengambil tindakan nekad masuk ke Maktab Perguruan setelah ketiadaan saya. Alang hanya menghabiskan tingkatan enam atas separuh jalan dan masuk ke maktab perguruan juga pada Ogos tahun yang sama tanpa menduduki STPM tahun itu. Walau bagaimanapun, mereka menyudahkan juga STPM pada tahun-tahun sesudah itu secara persendirian dan menempah tiket masuk ke universiti untuk bersaing dengan saya.

Selepas beberapa tahun, sekolah-sekolah berhampiran turut menawarkan tingkatan enam. Tiada lagi pelajar yang berulang 20 hingga 30 kilometer setiap hari. Pelajar tingkatan enam di sekolah itu kini boleh dikira dengan jari.
"Bosan aku mengajar tingkatan enam sekarang ini. Hanya satu kelas dengan bilangan murid 30 orang sahaja. Tidak sama sewaktu zaman kamu semua dulu. Sampai 7 kelas" kata Cikgu Aziz sewaktu saya menemuinya baru-baru ini.

9 comments:

Anonymous said...

segalanya berubah

Anonymous said...

salam

Juga di Tingkatan 6. Juga nakal. Sebelum masuk kelas, minum dulu di gerai abang pendek. Teringat juga dengan geng yang sering ponteng usrah. hehehe. kenangan zaman sekolah adalah yang paling berharga sekali!

Sahabat, ada yang kekal hingga kini. Ada juga yang hilang tanpa berita.

Anonymous said...

Salam petang buat Indera, andai teh petang sudah diminum, alhamdulillah...

Oh waktu itu sudah lama berlalu, dan kita hanya mampu mengutip serpihan kenangan ... biarlah abadi.

Oohh...

ZaKiN said...

uiiikss.. seronok tuan dengan kisah lalu..!! kalo dikenang pasti maniskan.. dulu student sekarang cikgu.. pasti lebih memahami kalo berdepan ngan anak murid yang sama perangai ngan tuan.. hohoho

hayad said...

wah,cikgu aziz tu mst cikgu yg bgs, siap bosan lg tu psl murid sikit.

Macam kak azah la ni,ehe

blackpurple @ jowopinter said...

Nostalgia Tingkatan 6... :)

Saya dulu sempat dua minggu di lower six, selepas itu dapat tawaran ke matriks. Tapi tak pernah lekat di kelas pun...

Memang seronok kalau dapat berkumpul dengan kawan-kawan lama... :D

zwitterion said...

skrang sblm masuk U, ramai msk matrik..hehe.
ooo..indera sorok belakang kedai, kalau sy jd abang driver tuh, jgn harap nak tunggu setengah jam...hehe

INDERA KENCANA said...

King,
Makhluk itu antara sifatnya ialah berubah-ubah..

Khairyn,
Ehh, samalah kita suka mengulat semasa di Tingkatan 6. Sahabat saya pun begitu, ada yang masih berhubung. Tidak kurang pula yang sudah hilang khabar berita.

Salam Bunga Rampai,
Bunga Rampai ada petuakah bagaimana cara ingin membuang memori dari ingatan? Saya ingin agar memori saya berkubur dan terus abadi. Saya tidak ingin terus dilingkari oleh memori.

Zack @ Maniq,
Ya, bagi orang seperti Alang itu sangat memahami jiwa murid yang nakal kerana dia dahulu memang tergolong dalam kumpulan yang terlalu tegar kenakalannya.

Penghunus lidah,
Salam Perkenalan. Sebelum ini saya sering juga menjengah ke laman saudara. Cuma jengah saya sekadar jengah-jengah ular. Langsung tidak meninggalkan jejak bertapak. Insya-Allah, sesudah ini akan saya lawati saudara dengan kerap ye!!

Dayah,
Azah kata dia sudah mulai suka dengan sekolah baru...

Bro BP,
Untung tidak berlama-lama di Form 6. Jika tidak punyai minat, lama kelamaan bisa gila...

Zwit,
Setiap kali bertemu dengan abang driver bas itu, sehingga kini dia akan berkata, Haa.. ni la bebudak yang menyorok di belakang kedai pagi-pagi buta dulu.."

Dia tahu rupa-rupanya...

Sang Perba said...

aku dulupun tingkatan enam... selalu pergi lewat... kalau kelas ekonomi pagi aku bedal tido kat asrama... sampai warden malas nak tegur... dia cakap dah sekolah mak bapak engkau nak buat macam mana ekekeke...