Wednesday, January 31, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 2

Cubit atas sayang
Cubit bawah sayang alahai dik oi
Sama sakit sama sayang

Air sama air
Kikir sama kikir
Fikir menangis
Fikir agama

Saya hanya mampu memandang keluar. Melihat sawah padi yang terbentang luas yang jauh ditinggalkan. Saya mengerti perasaan di hati Din. Kalau ada daya saya, ingin saya membawanya bersama menongkah arus pembelajaran dan sama-sama mengejar cita-cita. Dia tentu sedang tenggelam punca. Sama seperti yang saya dan Din rasakan sewaktu Azmi bertolak ke Skudai pada bulan Mei tahun sebelum itu.

Pernah suatu hari sewaktu Din sedang mengheret kerbau ayahnya untuk masuk ke kandang, dia ditegur dengan kata berbisa Pakcik Bedul ayah kepada Zamri (Zamri sama-sama mendaftar ke UTM bersama Azmi. Tetapi akhirnya Zamri kandas di Semester ke 3).
"Haii...?? jaga kerbau sudahnya engkau...??"

Sejak dari hari itu, Din bagaikan pendendam. Ada sahaja yang bisa menaikkan kemarahannya.
"Sudahlah tu... Tak baik termenung. Insya-Allah Din tak apa-apa. Ada rezekinya nanti, dapatlah dia masuk ke universiti" pujuk Mak.

Mak amat mengerti akan keakraban saya dengan Din dan Azmi. Bagi saya, Din dan Azmi itu bukan sahaja rakan karib saya. Bahkan mereka itu adalah kembar saya. Kami berkongsi kegembiraan, kesenangan, tawa ceria, tangis duka sejak kami masih kecil lagi. Cuma takdir yang memisahkan kami pada jalan kami yang tersendiri.

Hati saya bercampur buar sewaktu kereta Apak melintasi Jambatan Sungai Bernam. Negeri Perak saya tinggalkan. Saya bakal bermastautin di negeri baru. Saya tidak pernah bermastautin lebih jauh dari Daerah Kinta. Jika berjalan-jalan makan angin itu tidak diambil kira. Sudah hampir kesemua negeri pernah saya lewati...

Melihat ragam penduduk di sepanjang jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor-Shah Alam itu sedikit sebanyak menghiburkan hati lara saya. Sewaktu kereta Apak memasuki pinggiran bandar Shah Alam, dari kejauhan sudah terlihat Menara Budiman berdiri gagah di atas bukit Seksyen 1 itu.
"Ahhh... ITM, aku datang. Menyahut cabaranmu... Ya Allah, permudahkanlah laluanku" bisik hati saya.

Suasana di Dewan Seri Budiman nampak sibuk dengan pelajar baru yang mendaftar. Pelajar yang datang dari pelbagai lapisan kedudukan, negeri dan adat resam, latar belakang dan jurusan yang diambil. Juga mereka yang mempunyai ragam yang berbeza-beza. Saya hanya mengikut arus semasa. Disuruh mengisi borong, saya isi. Disuruh tandatangan, saya tandatangan. Segalanya seumpama dalam mimpi atau dipukau. Sewaktu mengambil kad pendaftaran asrama, saya sungguh tidak mengerti apa-apa.
"Baiklah. Awak ditempatkan di Kolej Delima 7. Awak boleh ke asrama sekarang...." kata seorang pegawai Bahagian Pendaftar.

"Wahhh... Kolej Perindu. Mesti mereka yang tinggal di sini terdiri dari yang jenis sentimental ni.." komen adik saya, Andika dalam gelak tawanya. Saya tidak kuasa melayani gurauannya kerana cabaran hidup di kampus itu amat mencemaskan saya.

Minggu Silaturrahim berjalan lancar. Tiada perkara buli terjadi sepanjang tempoh itu. Hanya suaikenal dan ceramah. Balik ke asrama untuk berehat dan bersambung lagi dengan ceramah. Ceramah, ceramah dan ceramah.

Tamat Minggu Silaturrahim, saya kembali cemas memikirkan senior-senior saya akan pulang ke asrama. Saya berdoa agar saya tidak menjadi mangsa buli mereka (saya takut dibuli sebenarnya). Sewaktu pelajar yang menjadi rakan sebilik saya sampai, saya amat bersyukur yang dia seorang yang peramah dan mesra. Eddie namanya. Satu pengajian dengan saya. Cuma dia di Semester 4. Saya pula masih terlalu hijau. Eddie seorang yang pintar dan disenangi oleh rakan-rakannya. Dia menjadi rujukan bagi setiap perkara oleh rakan-rakan. Rakan-rakannya turut menjadi kawan baik saya.

Suatu malam, 5 orang kawan-kawan Eddie masuk ke bilik kami. Mereka berpakaian kemas dan ranggi. Munir, duduk di atas katil, betul-betul di sebelah saya.
"Indera, siap. Jom kita pergi DV8..."
"DV8..?? DV8 tu apa..??" tanya saya bodoh-bodoh.
Mereka ketawa lucu.

"DV8 tu disco. Malam ni ada Student's Night. Masuk free tau... Jom cepat siap" kata Didie.
Mereka membuka almari baju saya untuk mencari baju yang sesuai untuk saya ke tempat itu. Saya memandang Eddie untuk mendapat kepastian. Tetapi di wajah Eddie, yang ada hanyalah gambaran kosong.

(Bersambung)

12 comments:

Sastri said...

Salam... Baru pertama kali ke sini... :D Hmm.. DV8, Sas hanya pernah mendengar namanya tapi tak pernah menjejak kaki ke dalamnya...

Anonymous said...

Salam... Baru pertama kali ke sini jugak.. ekekeke

oishh.. masok disko plak? hurmm pa yg terjadik selepas ituk?

Anonymous said...

oi oi aku pun tak pernah pergi disko tau

hayad said...

bersambung lg la pulak..bikin saspen aje

Anonymous said...

Baju apa agaknya yang Indera pakai? Tersangatlah ingin tahu bagaimana imej Indera malam tu :))

Salam seharum lavender buat Indera..

Anonymous said...

Ko ni kan.. type blog macam sinetron ahh.. ko mesti buat penonton tertanya2 dan tertunggu2 sambungannya nanti

zwitterion said...

indera memang, next entry mesti kena tunggu..hehe..bikin suspen saja.tuan director cepat siapkan ya..

achik said...

sinetron hehe... x dpt tgk bwg putih bwg merah baca sinetron kat blog en indera pun best...

saspen2 :)

Anonymous said...

Wujudmu di sini di tanah anak merdeka,
Bagai obor ilmu memayungi putera puterinya,
Tunjukkan aku jalan ilmumu,
Untuk ku menuju..destinasi cita2..agama dan bangsaku

Ermm menguji kesabaran betul neh..cuba tekan2 button forward tapi tak makan hehe

Anonymous said...

salam

Dia sudah mula telenovela. Saya menunggu ni.

DV8? hehehehe... hehehehe... hehehe....

tak pernah pergi.

Tunggu. Ya ke?

Sang Perba said...

dv8 aku ingat dah terpadam dalam ingatan entah kenapa memoirnya menjelma lagi....

INDERA KENCANA said...

Sastri,
Salam perkenalan buat Dewi pujaan hati Bro BP.

Memang DV8 dulu famous amos la.. sekarang ni ntah...


Lindosh,
Salam perkenalan. Marilah baca seterusnya....

King,
Ye ke..?? Betul ke King..??

Dayah,
Suspen..?? Hehehehehe...


Salam seharum Bunga Rampai,
Fesyen ala kuda belang...

Lan,
Tunggu....

Zwit,
Baik Puan... Saya faham, Puan. Hehehe jangan marah Cik Zwit..

Achik,
Bwg Putih Bwg Merah dengarnya dah nak abis. Betul ke..??

Iman,
Majulah Bangsa
Maju Negara
Berkat Usaha Jaya MARA

Hehehehe....


Jer @ Ahmad Marzu,
Ramaikan, bebudak Delima turun DV8. Sekali turun, kosong kampus...

Err.. penah pi ka..??