Malam di Universiti Malaya. Masuk ke Perpustakaan berjumpa dengan seorang teman. Perpustakaan itu lengkap dengan pelbagai kemudahan yang canggih dan amat mesra pembaca. Kemudahannya turut memberi kesenangan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menimba ilmu.
Sedang saya berbincang dengan teman itu, saya terdengar bunyi yang pelik. Bunyi mesin berkata-kata dengan kadar yang amat pantas. Sangka saya mesin itu berbahasa Jerman, namun setelah diamati, bahasa yang dipertuturkan itu bahasa Inggeris. Seorang pemuda yang cacat penglihatan sedang berteleku di hadapannya menyudahkan tugasan.
Kagum dengan kesungguhan pemuda itu, saya merapatinya sambil memperkenalkan diri. Lucunya sewaktu saya menghulurkan tangan bersalaman dengannya, tangan saya tidak bersambut. Sedetik saya bingung kenapa dia enggan menyambut jabat tangan saya. Ohh.. bukankan dia itu cacat penglihatan!! Mana mungkin dia dapat melihat tangan saya... Akhirnya saya tersenyum sendiri.
Namanya Syed, orang Johor yang bakal menghabiskan kuliahnya pada pertengahan tahun ini. Mempunyai mata pencapaian keseluruhan (CGPA) 3.70. Sesuatu yang amat mengagumkan saya. Dalam keadaan cacat penglihatan itu dia mampu mencatatkan pencapaian sedemikian tinggi. Saya yang sempurna penglihatan ini pun dahulu hanya cukup-cukup makan.
Dia seorang yang tabah dan bersemangat kental. Ingin memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana melalui Skim Latihan Pensyarah. Sewaktu berbicara tentang syarat-syarat dan kelayakan yang harus ada bagi memasuki skim itu, kami berdebat hangat tentang kewajaran memberi kelebihan kepada OKU untuk melanjutkan pelajaran.
Saya berpendapat adalah wajar bagi golongan OKU ini diberi keutamaan dan laluan yang mudah untuk ke Skim itu tetapi Syed membantah bahawa setiap syarat itu mestilah adil tidak kira samada orang itu lengkap pancaindera ataupun golongan OKU.
Saya tahu bahawa golongan OKU ini mahu kita melayani mereka sama seperti kita melayani insan lain tanpa mengira kecacatan mereka. Mereka mudah tersinggung dengan layanan istimewa dan merasakan keistimewaan yang mereka perolehi itu adalah atas dasar kecacatan mereka. Bukan sebab mereka itu sendiri.
Syed mengingatkan saya kepada Mohamad Nasir, kawan baik saya di fakulti dahulu. Nasir dilahirkan tanpa tangan yang sempurna. Tangannya hanya setakat siku. Tiada jari jemari. Asalnya persahabatan saya dengan Nasir terjalin atas dasar simpati. Tetapi lama kelamaan Nasir mahu saya melayani sebagaimana saya melayani kawan-kawan saya yang lain.
Saya belajar bersahabat dengan OKU daripada Nasir. Sekilas pandang persahabatan saya dengan Nasir sangat kasar dan keras. Bergurau dengan tepuk tampar (yang tidak menyakitkannya), berlumba lari dengannya di padang, berkongsi bertih jagung dengannya di panggung wayang. Kesemuanya berjalan seperti biasa. Cuma kehadiran saya itu sedikit memudahkannya sahaja. Contohnya menghulurkan sudu dan garpu kepadanya sewaktu makan, membantunya menaiki motorsikal saya. Selebihnya semua dilakukan oleh Nasir sendiri. Saya merasa amat bangga dan kagum sekali. Paling mengagumkan saya sewaktu melihatnya menekan butang-butang mesin kira (calculator) dengan pantas. Lebih mengagumkan lagi, Nasir lulus Ijazah Pertama dengan catatan markah 3.45. Jauh meninggalkan saya yang pemalas.
Nasir kini bertugas di RHB Bank. Mungkin sudah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus atau Eksekutif Kanan setidak-tidaknya. Kali terakhir kami keluar bersama pada tahun 2002 apabila kami sama-sama menonton filem Jurassic Park 3. Kemudian berpusing-pusing meronda Bandaraya Kuala Lumpur dengan kereta Nasir. Kereta yang telah diubah suai khas untuk kegunaannya. Bangganya saya dapat menaiki kereta yang tertulis di belakangnya KENDERAAN ORANG CACAT.
Jika sebelum mengenali Nasir, saya tertanya-tanya. Bagaimanakah takrifan OKU terhadap kehidupan? Bagaimanakah rasanya bersahabat dengan OKU? Setelah mengenali Nasir, ada perasaan yang pelik ketika bersama OKU. Perasaan simpati yang melimpah ruah. Namun perasaan itu tidak dibenarkan sama sekali untuk dizahirkan oleh mereka ini. Yang mereka inginkan hanyalah keikhlasan. Akhirnya perasaan itu semua bertukar menjadi kekaguman.
18 comments:
Salam.
Dalam suratkhabar Metro (Glasgow) bertarikh January 9, 2007.
Against all oddds: Japanese student Ken Onishi 29, poses outsie Manchester Universtiy after gaining a masters degreee in politics - despite being deaf and not speaking English. He was helped through the course by an audio typist.
Dia punya semangat yang kuat. Saya? Mahu mencuba jadi seperti dia juga.
Di sini, ramai juga pelajar OKU. Mereka sentiasa ada pembantu yang tolong menaip untuk mereka ataupun membawakan beg ke dalam kelas.
Indera,
Di mana-mana jua sentiasa ada cabarannya. Sentiasa ada ujian. Samada kita tabah atau kuat, itu bergantung kepada diri sendiri. Tawakkal dan mohon pada Allah sentiasa. Peluang untuk belajar sentiasa ada, cuma sanggupkah kita yang sudah enak selesa di tempat sendiri mahu bersusah payah di tempat orang?
Saya juga sedang menghadapi cabaran. Saya bukan pelajar tajaan negara Malaysia. Saya harus berfikir 5-6 bulan ke hadapan untuk lunaskan yuran sekolah. Saya juga harus 2 kali ganda belajar kerana otak saya bukan lagi seperti 10 tahun yang lepas yang lebih cerdas.
Kalau sanggup, saya alu-alukan indera untuk diangkat menjadi wirawan sebenar. :D
ingatlah apa sahaja kurniaan tuhan bukanlah batu penghalang
Label Orang Kurang Upaya (OKU) bukan alasan untuk tidak boleh berjaya.
Yang upaya pun kadang-kadang lebih lemah dan lebih cacat dari OKU. Kalau pun bukan anggota badannya, akal minda kemahuannya.....!
Salam buat Indera,
Terkedu AKMA membaca semangat yang satu itu. AKMA lengkap, sempurna sifat tapi masih mengeluh-ngeluh menghabiskan hari-hari terakhir.
Hari-hari terakhir di bumi sejuk ini Indera....amat meresahkan. Amanah semakin menyesakkan dada. Rindu pula mengamuk.
Tuhan...berikan aku kekuatan.
Sahabat...aku perlukan doa mu.
Salam Khairyn,
Indera juga ingin jadi Wirawan. Menjadi seperti Wirawati menempuh cabaran di tanah atas angin itu. Keinginan untuk menyambung pembelajaran di negara orang memang sudah meluap-luap dahulu hingga kini. Cuma saya tidak tahu cara untuk menuju ke arahnya kerana tiada bimbingan dari orang seperti Wirawati.
Indera tidak kisah hilang kesenangan di bumi sendiri bagi mencari kesenangan di bumi atas angin. Kerana pengalaman itu yang akan mematangkan diri kita. Indera tidak kisah jika Indera harus bekerja di ladang bagi menampung perbelanjaan dan biaya belajar.
Bolehkah Wirawati tunjukkan pada Indera. Jika huraian panjang dan lebar, mungkin Wirawati boleh emailkan ke indera5kencana@yahoo.com
Mohon tunjuk ajar dari Wirawati.
King,
Kecacatan serta dugaan juga bukan halangan untuk kita bangkit.
Bro BP,
Kesempurnaan anggota bukan jaminan untuk berjaya di dalam hidup. Tetapi semangat yang jitu dan kental akan mengatasi kelemahan fizikal. Bila akal mengatakan boleh, Insya-Allah segalanya boleh.
Salam AKMA,
Jangan dihitung hari hadapan. Kelak kita merasakan masa berlalu terlalu perlahan. Cuba hitung hari yang lepas, kelak kita merasakan masa berlalu terlalu pantas.
Tugas saya sebagai sahabat untuk mendoakan kesejahteraanmu. Penantian itu akan berakhir jua. Insya-Allah.
Khairyn,
Maksud Indera meninggalkan kesenangan di bumi sendiri demi mencari kesusahan di bumi orang.
nasib mereka yg sebegitu menjadikan mereka lebih tabah dan cekal
Salam Indera,
OKU sebahagian daripada kehidupan kita, usah pandang rendah, usah sisihkan mereka.
saya takde pengalaman berkawan dgn OKU tapi penah mendengar motivasi dr seorg wanita hebat dr golongan OKU... drive merc lagi...
Cerita yang cukup memberi kesan.
aku tak pernah kawan dengan OKU. belum lagi mungkin.
Pada zahirnya mereka nampak kekurangan..tapi ALLAH maha adil. Mereka dikurniakan semangat yang kental sebagai X-factor untuk bersaing dengan yang sempurna.
Pengaruh X-Men lagi..hehe
hmmm... OKU.. saya tak pernah berkawan dengan OKU.. mungkin belum pernah lagi betul-betul ada peluang untuk berkenalan dan berkawan dengan mereka..
Selalu bila ternampak/bertembung dengan OKU, selalu panjatkan doa untuk kemudahan/bantuan serta kesejahteraan mereka.
p/s:try laa komen kat blog ceri, dah boleh kot rasanya.. Kalau tak boleh leave msg kat shoutbox.
aku ada sahabat OKU masa kat kampus satu batch dengan aku memang dia skor 3.89 kalau tak silap aku dan antara best student ler... guna kerusi roda yang berinjin... kalau lif tak ader kami ramai2 angkat dia dari foyer ke level 13... sahabat yang baikm selalu aku dan member2 yang lain lepak rumah dia. Family dia dah anggap kami macam saudara... masih kontek dengan dia cuma kesibukkan kami membuat jarang untuk bersua. Tapi bila ada reunion kami mesti jemput dia....
Kelebihan OKU ini kadang-kadang diluar kemampuan orang biasa.. itulah kuasa uhan
Zwit,
Ya. Kecekalan mereka mengatasi kekurangan yang ada pada mereka.
Salam Bunga Rampai,
Mereka golongan istimewa. Alangkah kejamnya golongan yang memandang rendah dan menyisihkan mereka ini.
Achik,
Ramai OKU yang hebat di Malaysia ini.
Salam untuk hakim,
Terima kasih. Sama-samalah kita membantu OKU di mana sahaja.
Esis,
Mana tahu student engkau nanti OKU pulak ke.. Engkau jangan buli diaorang pulak tau..!!
Iman,
X-Men juga makhluk Allah. Baguskah ceritanya Iman?
Winter_bride,
Bersahabat dengan OKU bererti membuka hati kita menerima kekurangan diri.
Salam perkenalan.
Cherry,
Masih tak boleh tinggalkan komen. Huhuhuhhuh..
Jer,
Aku tahu. Engkau kan satu perangai dengan aku..
Kamato,
Seperti kata Bro Gab, itu cara tuhan memberi semula kelebihan atas kekurangan yang mereka miliki. Ya, cara tuhan... Saya suka kata-kata itu.
Post a Comment