Friday, January 26, 2007

Sakit Mata

"Eh, Monster la... Mak!! Monster dah tiba...!!" kata anak-anak kakak saya memanggil ibu mereka setibanya saya di rumah Mak minggu lepas.

Masuk sahaja ke rumah, saya melihat Mak terbaring sambil berselimut di atas katil.
"Opah demam. Dah tiga hari.." kata Fatin yang baru berusia 9 tahun.

Sesekali Mak mengerang apabila sengal-sengal menyinggahi di sendinya. Saya lihat mata Mak merah menyala.
"Kenapa dengan mata Mak..??" tanya saya.
"Mak sakit mata. Berjangkit dengan budak-budak tu" kata Mak.
"Mak dah makan..??" tanya saya lagi.
"Belum. Mak tak ada selera"

Apa yang saya boleh lakukan ialah mengurut badan Mak. Itu pun hanya sebentar cuma apabila Mak mengadu badannya lebih sakit apabila diurut oleh saya. Katanya kudrat dan cengkaman saya kuat. Badan Mak yang lemah tidak berdaya menerima tekanan tenaga saya. Akhirnya Fitri yang berusia 7 tahun itu yang mengurut badan Mak. Mak nampak lega.

Esoknya Mak kembali sihat. Sudah cergas untuk memasak dan juga mencuci keliling rumah. Cuma mata Mak sahaja yang masih kemerahan. Sesekali apabila kerinduan kepada Mak memuncak, saya akan mencium pipi Mak. Mak hanya tersenyum.

Malam itu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur, Mak pula menghadiahkan selayangan ciuman ke pipi saya. Sungguh bahagia rasanya!!!.

Hari Isnin berlalu seperti hari-hari yang lain. Masuk sahaja hari Selasa, mata saya seakan tidak betah menentang pancaran matahari pagi yang sebelum ini cukup menenangkan. Saya masuk ke tandas dan.... Masya-Allah!! mata saya seperti tanglung di malam Chap Goh Mei. Pada ketika itu juga saya diarahkan pulang ke rumah dan mendapat cuti sakit selama dua hari.

Duduk di rumah selama dua hari tanpa anak-anak, isteri dan rakan-rakan adalah sesuatu yang amat membosankan. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah mengemas rumah yang seperti tongkang karam itu, mencuci pakaian dan memasak. Memasak Ikan Sardin. Selama dua hari itulah menu istimewanya - hanya Ikan Sardin.

Jika saya kebosanan, saya akan mengambil angin di luar rumah. Memandang perumahan yang sunyi sepi di waktu tengahari rembang. Mengalih pandangan ke ladang kelapa sawit yang memagari kawasan perumahan itu. Dedaunnya di waktu tengahari tampak agak pusam dan berdebu sementara angin yang bertiup seakan perlahan dan membawa aura panas dari arah Kundang.

Di sebelah petangnya, hujan mengguyur dari langit membasahi aspal. Mata saya masih merah menyala seakan tiada tanda untuk surut.

14 comments:

Anonymous said...

alahai kesian. meh aku cium pipi kau pulak

Anonymous said...

cepat baik laa hendaknya yaa

achik said...

mmm kdg2 segan nak tunjukkan kerinduan pada keluarga sendiri... saya x merasa nak rindu kat mak... hari2 jumpa hehe..

cepat baik :)

Anonymous said...

monster sakit mata.. hahaha.. ehh silap.. kesiann haha

Sang Perba said...

sakit itu kifarah dosa-dosa kecil...bersabarlah...

hakim dirani said...

Selalunya Allah uji hambanya untuk tinggkat imannya. beruntung mereka yang berjaya menghadapinya

hayad said...

hehe, jangkit dgn mak la ni? takpe, jangkit dr mak xpe..amek berkat,ehe :D

Anonymous said...

Salam...

Semoga cepat sembuh...

KAMATO said...

Sekarang ni macam musim sakit mata..

Anonymous said...

Salam buat Indera,

Oh, sakit mata rupanya. Moga sudah pulih seperti sedia kala. Sakit mata ni (conjunctivitis)memang mudah berjangkit.

Cium pipi mak? Ooh, saya tersentuh membacanya dan saya tiba-tiba rindu pada mama saya.

Ikan sardin - paling sedap masak cili! Ah, tiga pinggan nasi boleh jalan.. :))

Moga minggu ini yang terindah dan tenang buat Indera.

Ada cerita rakyat lagi?

tengok tu, saya kata nak diam, celoteh panjang juga, heh!

INDERA KENCANA said...

King,
Nah, pipi aku... untuk ko cium.

Cherry,
Terima kasih byk2. :)

Achik,
Kalau tak rasa rindu, buat-buat rindu. Mesti Mak kita suka.

Terima kasih.


Lan,
Haaa... mata aku sakit, Lan. (Nasib baik ko kesian kat aku.. Huhuhuhuhu)

Jer @ Ahmad Marzu,
Kirafah kerana aku tengok benda bukan2.. Hehehehehe...

Hakim,
Juga sebagai penghapusan dosa. Agar kita boleh memijak hamparan Allah ini dalam keadaan yang bersih.

Dayah,
Hehehehe...

Bila nak posting?


Qasseh,
Salam Perkenalan. Terima kasih. Selalu2 lah berkunjung ke sini, ye!!

Saudara Kamato,
Ya, di Bandar Tasik Puteri itu, ada sahaja kes jangkitan mata setiap hari.

Salam Bunga Rampai,
Ooo... Conjunctivitis istilahnya. Baru saya tahu.

Tentang cerita Rakyat itu, nanti saya fikirkan. Banyak yang diceritakan oleh Arwah Atuk dahulu... cuma perlu digeledah semula dari pemikiran saya.

Saya suka mendengar celoteh Bunga Rampai.

Anonymous said...

Salam Monster..opss Indera..hehe. Terlepas komentar untuk entri Hari ribut, runduklah padi ..saya baru pulang dari merasai kedamaian tersebut..tenang seketika minda yang serabut.

Semoga cepat sembur

Anonymous said...

sembuh..sorry salah eja pulak

INDERA KENCANA said...

Iman,
Bagaimana..?? enakkah menyedut udara perdusunan yang seperti bau durian dan kulit kayu itu..??

Takpe. Terima kasih. Monster amat menghargainya...